XPDC atau Real XPDC bukan hak mereka

Oleh – Syeikh Baran


XPDC atau Real XPDC bukan hak mereka
Joe, Adeq, Mael dan Bonn antara anggota awal Real XPDC selepas pengunduran Fariz, manakala (gambar kanan) ialah sijil pemilikan Real XPDC oleh Azmey.

Isu salah guna nama dan lagu kumpulan heavy metal tersohor negara XPDC oleh sebuah band muzik kontroversi nampaknya semakin hangat dibincangkan.

Kini, suara dari wakil dua XPDC iaitu XPDC Kita Pengyu dan XPDC Militia sudah mula kedengaran yang memberi isyarat kemelut ini perlu segera dihentikan.



Manakan tidak, sejak pemergian Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael XPDC pada April 2023, keghairahan kumpulan tersebut didakwa semakin menjadi-jadi apabila tanpa rasa malu menggunakan jenama XPDC sesuka hati.

Mereka bahkan didakwa mengadakan persembahan di pelbagai acara dengan mendendangkan lagu-lagu milik XPDC tanpa sebarang kawalan.

Selepas pengurus XPDC Kita Pengyu, Yazid Selamat dan Ali XPDC daripada XPDC Militia tampil membuat kenyataan tentang hak penggunaan nama XPDC, namun ternyata mereka didakwa hanya memekakkan telinga seolah-olah tiada apa-apa malah mendakwa Yazid yang juga sebenarnya anggota asal XPDC sebelum bergelar pengurus sebagai tidak tahu apa-apa dan hanya berbohong.

“Jika berasakan bahawa mereka bukan XPDC tetapi adalah Real XPDC seperti yang didakwa, mereka perlu tampil memberikan dokumen dan bukti untuk membolehkan ia dihalalkan dan tidak menyalahi undang-undang mahupun hak cipta sesiapa,” ulas tuan empunya sebenar Real XPDC, Azmey Mat Nasir @ Azmey.



Tampil bagi menafikan segalanya, Azmey menegaskan, segala dakwaan kononnya kumpulan tersebut adalah kepunyaan mereka (kumpulan yang satu lagi) dan berhak atas segala pemilikannya adalah bohong sama sekali, bahkan ia satu penipuan selain menyalahgunakan hak cipta orang lain demi mengaut keuntungan mereka sahaja.

“Tidak benar sama sekali. Siapa mereka ini? Senang-senang nak mengaku Real XPDC adalah hak mereka. Apa buktinya? Boleh sertakan sijil pemilikan apa-apa?

“Real XPDC Production (M) Sdn Bhd sebenarnya telah didaftarkan secara rasmi oleh kami bersama Mael pada 30 April 1998 dan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.

“Ketika itu ia ditubuhkan dengan tujuan untuk meneruskan kerjaya Mael dalam industri muzik tanah air selepas keluar dari XPDC. Real XPDC selepas itu telah menandatangani kontrak dengan pihak EMI Music pada 2002 dan telah mengeluarkan album pada awal 2004,” jelasnya kepada Awani pada Ahad.



Justeru kata Azmey, dakwaan yang mengatakan bahawa kumpulan tersebut adalah ‘Real XPDC’ adalah tidak ada kena mengena langsung dan tidak ada kaitan secara rasmi dengan Real XPDC.

Tambahnya, anggota yang membarisi band tersebut langsung tidak pernah terlibat dengan Real XPDC apatah lagi terbabit dengan proses, pembikinan atau sebarang aktiviti penubuhan Real XPDC serta lagu yang dihasilkan.

Kemarahan ramai pihak termasuk anggota XPDC serta peminat tegar terhadap kumpulan terbabit katanya sememangnya berasas, memandangkan mereka bukan sahaja menyalahgunakan nama dan material lagu atau hak cipta, malah telah mengelirukan orang ramai selain didakwa tidak bermoral kerana mengaut keuntungan peribadi dari hasil karya orang lain.

“Tak sepatutnya begitu. Mereka sepatutnya ada rasa malu kerana mereka seakan-akan sudah merompak hasil orang lain dan menjadikan ia sebagai sumber keuntungan. Dalam erti kata lain, itu sebenarnya sama seperti makan hasil curi,” kata Azmey.



Lebih menyedihkan, kumpulan terbabit didakwa tidak segan silu mempromosikan acara persembahan mereka di media sosial secara terbuka walaupun sudah banyak kali menjadi sasaran kemarahan peminat XPDC.

Lebih memburukkan keadaan, kata Azmey, pihak penganjur yang membenarkan mereka mengadakan persembahan sepatutnya meneliti terlebih dahulu siapa mereka, kerana nama XPDC adalah besar di negara ini dan sudah dikenali sejak sekian lama.

Jelasnya, penganjur yang menjemput mereka sebenarnya perlu lebih teliti dan berhati-hati kerana ia bukanlah sesuatu yang sihat untuk industri muzik negara.

Beliau turut berharap agar isu itu dapat ditamatkan dalam masa terdekat dengan cara terbaik, selain melihatnya dari sudut tindakan undang-undang yang sepatutnya. – Awani



Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button