Bendera gergasi Sarawak dikibarkan separuh tiang

 

Oleh Pena Merah

Bendera gergasi Sarawak dikibarkan separuh tiang
Bendera gergasi ikonik ‘Ibu Pertiwi’ dikibar separuh tiang sebagai menghormati pemergian Tun Abdul Taib Mahmud

Bendera gergasi Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi di sini, dikibarkan separuh tiang sebagai menghormati pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Semua premis mula mengibarkan separuh tiang bendera Sarawak yang juga dikenali sebagai Ibu Pertiwi sejurus menerima arahan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pagi tadi.



Turut diturunkan, bendera Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi yang terletak bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Dataran Pertiwi yang terletak berhampiran Tebingan Kuching itu dilancarkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis sambutan ambang tahun baharu 2024 peringkat negeri sebelum ini.

Kos pembinaan monumen itu disumbang syarikat Petroleum Sarawak Bhd (Petros), PETRONAS dan Shell menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Abdul Taib, yang juga Ketua Menteri paling lama berkhidmat di negara ini menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada jam 4.28 pagi tadi.



Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Kuching tengah hari ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 3 petang, bukannya Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching seperti dalam makluman awal.

Jenazah kemudian akan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada jam 8 pagi esok untuk penghormatan terakhir sehingga jam 11.30 pagi.

Jenazah Allahyarham akan disemadikan dalam upacara pengebumian negeri di Tanah Perkuburan Demak Jaya, petang esok.

Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button