Enam lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM4.02 juta.

 

Oleh Pena Merah

Enam lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM4.02 juta.
Kamarudin (tengah) menunjukkan dadah syabu yang dirampas JSJN dan Pasukan Tindakan Khas Bukit Aman.

Kegiatan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa yang dipercayai menjadikan Pantai Klebang sebagai transit, tumpas selepas enam lelaki ditahan bersama rampasan dadah bernilai RM4.02 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, berkata



suspek yang terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan seorang pemastautin tetap berusia antara 40 dan 74 tahun itu masing-masing ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Melaka, Johor dan Pahang pada 21 Februari lalu.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai cuba menyeludup keluar lebih 83 kilogram (kg) dadah syabu dan pil ekstasi ke Indonesia.

“Dalam serbuan pertama, suspek seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan di kawasan Kota Syahbandar ketika sedang memindahkan dadah ke dalam sebuah kenderaan lain dan polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 52 kilogram (kg) dan serbuk ekstasi seberat 31.45kg bernilai RM4.02 juta.

“Serbuan kedua di Simpang Renggam, Johor dan polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 57 tahun manakala serbuan ketiga berjaya menahan dua lagi suspek lelaki, masing-masing berusia 68 dan 74 tahun di Genting Highlands, Pahang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini, hari ini.



Mohd Kamarudin berkata, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan jalan darat bagi menyeludup masuk dadah dari negara jiran (Thailand) sebelum dihantar melalui jalan laut ke Dumai, Indonesia melalui Pantai Klebang, di sini.

“Mereka ini seludup dadah dari negara jiran menggunakan kenderaan persendirian dan ditinggalkan di satu lokasi sebelum diambil oleh ahli sindiket lain. Kita percaya sindiket ini mula aktif sejak pertengahan 2023,” katanya.

Menurutnya, dadah dirampas itu dianggarkan boleh digunakan seramai 365,000 penagih dadah.

Katanya, rampasan dadah ini adalah yang terbesar setakat ini bagi kontinjen Melaka dengan nilai keseluruhan termasuk sitaan berjumlah RM4.13 juta.



Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dengan lima suspek direman selama lima hari manakala seorang lagi selama tujuh hari, bermula 21 Februari bagi membantu siasatan. –Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button