CUEPACS gesa percepatkan kenaikan gaji penjawat awam

 

Oleh Pena Merah

CUEPACS gesa percepatkan kenaikan gaji penjawat awam
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat menegaskan ramai kalangan penjawat awam tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup tinggi seperti ditanggung ketika ini.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terus menggesa kerajaan menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam berikutan kedudukan gaji semasa tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup tinggi.

Presiden CEUPACS, Datuk Dr Adnan Mat menegaskan ramai kalangan penjawat awam tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup tinggi seperti ditanggung ketika ini.



“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memaklumkan laporan akhir Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka selesai dalam tempoh dua bulan dan beliau menyatakan tidak mahu melengah-lengahkan lagi pelaksanaannya.

“Justeru, CUEPACS berharap komitmen yang dinyatakan oleh Perdana Menteri mampu ditunaikan segera dan tidak berlanjutan sehingga ke tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Adnan merakamkan ucapan terima kasih CUEPACS kepada kerajaan kerana menyalurkan Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam pada hari ini.

Katanya, bayaran insentif awal itu disalurkan kerajaan sementara menunggu Kajian SSPA dimuktamadkan.



“Pemberian insentif ini sudah tentu memberikan kelegaan kepada penjawat awam terutama dalam membuat persediaan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan.

“Ini kerana minggu sesi pembukaan sekolah dan sambutan Ramadan yang serentak sudah pasti menimbulkan kegusaran mengenai kos perbelanjaan yang dijangka lebih tinggi.

“Sudah pasti ramai tidak sempat untuk membuat simpanan mencukupi apatah lagi pada bulan berikutnya sambutan Aidilfitri akan diraikan,” katanya.

Adnan turut menasihatkan penjawat awam supaya berbelanja secara berhemah dengan mengutamakan keperluan sepatutnya.



“Jumlah itu (RM2,000) jika kita lihat memberi sedikit kelegaan bagi perbelanjaan menyediakan kelengkapan persekolahan dan persiapan Ramadan.

“Justeru, berbelanjalah mengikut bentuk acuan perbelanjaan masing-masing dan jangan berbelanja di luar kemampuan kerana kita sendiri akan merana jika perbelanjaan tidak disusun dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, Adnan menggesa semua kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan(PBT) dan badan berkanun untuk turut sama memberikan bayaran insentif awal seperti dipanjangkan melalui surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini.

Ini kerana, pemberian insentif seumpama itu boleh dijadikan sebagai inisiatif kerajaan negeri, PBT dan badan berkanun menjaga kebajikan warga pekerja.



“Semua kerajaan wajar memanjangkan pemberian insentif ini kepada PBT dan badan-badan berkanun negeri seperti dilaksanakan kerajaan Selangor,” katanya. – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading