Faisal Halim terkejut jaringan tercalon antara terbaik di Piala Asia
Oleh Pena Merah
Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui terkejut selepas jaringannya ketika menentang Korea Selatan pada Piala Asia 2023 dipilih sebagai salah satu daripada lapan jaringan terbaik bagi saingan itu.
Malah, pencapaian itu menambahkan lagi perasaan teruja pemain Selangor FC (SFC) yang turut menyifatkan perkembangan itu dapat membakar semangatnya untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim baharu yang bakal membuka tirainya, Mei ini.
“Apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memuatnaik hantaran mengenai jaringan itu, saya rasa sangat teruja dan terkejut kerana kita pasukan dengan ranking yang agak jauh tetapi jaringan itu boleh tersenarai.
“Ini adalah satu pentas yang besar jadi ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk memulakan musim baharu nanti.
“Tetapi saya rasa banyak lagi dan masih jauh lagi masa untuk saya mencapai lebih banyak kejayaan,” kata Faisal.
UNDI FAISAL HALIM DI SINI https://www.the-afc.com/en/national/afc_asian_cup/news/vote_for_your_con…
Setakat petang ini, jaringan itu terus mengungguli senarai apabila mendapat 64 peratus pilihan membabitkan lebih 70,000 undian.
Undian kedua terbanyak ketika ini berpihak kepada pemain Jordan, Mousa Al Tamari (22 peratus) diikuti Son Heung Min dengan 9 peratus.
Sebagai rekod, pemain berusia 26 tahun itu meledak jaringan menarik selepas berjaya memperdaya pemain Korea Selatan yang dilabel antara pertahanan tengah terbaik dunia yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022/23, Kim Min Jae di Stadium Al Janoub, 25 Januari lalu.
Dia yang lebih dikenali sebagai Mickey menyambar bola sebelum memperdaya pertahanan Bayern Munich itu dan juga penjaga gol, Jo Hyeon Woo yang ‘terduduk’ sebelum meledak gol pertama Malaysia. – Berita Harian
UNDI FAISAL HALIM DI SINI https://www.the-afc.com/en/national/afc_asian_cup/news/vote_for_your_con…