‘Ibu ayam’, dua pelacur direman tujuh hari
Oleh – Syeikh Baran
Seorang wanita yang berperanan sebagai ‘ibu ayam’ beserta dua pelacur wanita warga Indonesia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, tempoh reman ke atas tiga suspek berusia 45 hingga 57 tahun itu bermula semalam hingga Khamis depan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kegiatan haram itu. Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang diselamatkan selepas disyaki dipaksa untuk melacur turut berada di bawah perlindungan dan pemantauan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang diekploitasi dipercayai menjadi hamba seks sejak dua bulan lalu berjaya diselamatkan dalam serbuan di sebuah lot kedai di Banting, kelmarin.
Serbuan pukul 3.30 petang itu turut menyelamatkan seorang wanita bersama bayinya selain seorang lagi kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berusia 11 bulan hingga 25 tahun.
Modus operandi rumah pelacuran itu adalah menyediakan empat bilik dengan menggunakan tirai langsir dan menyasarkan pelanggan di kalangan warga asing.
Sumber – KOSMO!ONLINE