48 wanita tawar servis urutan RM60 sejam ditahan
Oleh – Syeikh Baran
Seramai 64 individu ditahan menerusi 13 serbuan Op Noda Mega yang dilakukan di tiga daerah sekitar Gombak, Serdang dan Sentul, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi berkenaan dijalankan Bahagian D7 (kongsi gelap, judi dan maksiat) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selama beberapa jam bagi memantau aktiviti persundalan di sekitar Lembah Klang.
Katanya, hasil serbuan telah berjaya menangkap seramai 48 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pekerja seks.
“Polis turut menahan 14 lelaki tempatan dan dua wanita warga asing yang bekerja sebagai pengurus premis urut tersebut.
“Pemeriksaan turut dijalankan ke atas tiga premis urut yang mempunyai lesen perniagaan yang sah dan tidak terkesan sebarang kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Shuhaily berkata, kesemua premis urut itu didapati melakukan kesalahan menggajikan wanita warga asing bekerja tanpa sebarang permit yang sah serta menjalankan aktiviti yang tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan seks dan urutan batin.
“Turut ditahan semasa serbuan adalah pelanggan lelaki warga asing yang melanggan pelacur dan juga tiada memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Premis-premis yang diserbu ini kebanyakannya mensasarkan pelanggan berbangsa cina, warga asing dan pelanggan tetap sahaja untuk masuk ke dalam premis,” ujarnya.
Katanya kebanyakan premis rumah urut berkenaan beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 11 malam dengan menawarkan perkhidmatan seksual kepada pelanggan yang datang terus ke premis atau membuat tempahan menerusi media sosial.
“Harga bagi pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan adalah bermula daripada RM150 sehingga RM320 bagi satu sesi, manakala bagi urutan badan RM60 sehingga RM120.
“Bayaran tambahan turut dikenakan sebanyak RM50 ke RM80 sekiranya pelanggan ingin mendapatkan khidmat seperti urutan batin dan dibayar terus kepada tukang urut yang dilanggan,” katanya.
Tambah kenyataan itu Mohd. Shuhaily berkata, 48 pelacur ditahan terdiri daripada 38 warga Thailand, tiga warga China dan tujuh warga Vietnam.
Sumber – KOSMO! ONLINE