52 negara senada Malaysia, kutuk tindakan kejam Israel

Oleh – Syeikh Baran


52 negara senada Malaysia, kutuk tindakan kejam Israel
PENDUDUK Palestin memeriksa serpihan selepas serangan udara Israel di Rafah, Semenanjung Gaza. – GAMBAR HIASAN

Sebanyak 52 buah negara yang menyertai sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda dari 16 Februari sehingga semalam, senada dengan Malaysia untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua negara itu telah diberi peluang oleh ICJ untuk menyatakan pandangan mengenai isu tersebut dan perbuatan Israel mesti diambil tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



“Kali ini rasanya Israel tidak mempunyai banyak pilihan dan kita telah bersama-sama membentangkan hala tuju dan gencatan senjata yang kekal dengan cara mengadakan sistem dua negara yang mana kita pastikan negara Palestin yang merdeka mesti diakui.

“Palestin juga harus diakui menjadi sebahagian anggota masyarakat antarabangsa dan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini yang sedang kita usahakan dan ICJ telah pun mendengar kesemua 52 negara yang membentangkan bantahan dan pandangan mereka yang tegas.

“Walaupun ada dua, tiga buah negara yang menyokong Israel tetapi nampaknya suara mereka ini tenggelam pada kali ini. Saya yakin lebih daripada tiga perempat negara yang membentangkan dengan tegas mempunyai pandangan yang sama dengan Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Kejohanan Bolasepak Piala Tok Mat Parlimen Rembau 2024 di Padang Stadium Mini Rembau, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau mendapat maklum balas baik dari negara-negara Eropah, Afrika dan Asia yang memberikan sokongan terhadap suara tegas Malaysia berhubung isu Palestin.



“Israel masih berdegil tapi kali ini gelombang kutukan dunia terhadap rejim zionis amat besar sekali,” tegasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button