‘Kami sudah ada RM5 juta’

Oleh – Syeikh Baran


'Kami sudah ada RM5 juta'
Pemain KL Rovers meraikan kejayaan muncul naib juara Liga M3 musim lalu. – Foto KL Rovers

Naib juara Liga M3, KL Rovers sudah bersedia sepenuhnya dari kewangan dan persiapan pasukan sekiranya diberi lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super 2024/25 oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pengarah KL Rovers FC Sdn Bhd, Ashraf Mazlan berkata pihaknya sudah melengkapkan semua kriteria seperti ditetapkan badan pengendali liga itu sekali gus mengharapkan keputusan mengenai lesen Liga Super itu dapat diketahui secepat mungkin.

Tegasnya, KL Rovers akan mengambil pendekatan untuk berbelanja dengan ‘mengukur di badan sendiri’ bagi memastikan pasukan itu tidak berdepan sebarang masalah selepas saingan liga bermula nanti.



“Kita sudah ada rakan kongsi baharu dan proses penswastaan pasukan kita pun sudah hampir sempurna. Dari segi bajet, kita sudah kemukakan bajet minimum RM5 juta seperti yang diminta oleh MFL sebelum ini.

“Memang kita sudah ada bajet itu cuma untuk persiapan pasukan, ada beberapa lagi prospek penaja yang kita akan putuskan untuk kita bergerak ke langkah seterusnya. Sebab itulah kita mengharapkan keputusan ini (beraksi di Liga Super) dapat dimaklumkan dengan segera.

“Ini bagi memudahkan kita memuktamadkan rundingan dengan mereka. Secara dasarnya, kita sudah bersedia untuk ke Liga Super dan persiapan kita pun mengikut standard Liga Super tetapi tidaklah terlalu melampau,” kata Ashraf.

Malah, Ashraf turut mengambil saranan daripada pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang begitu menekankan mengenai persiapan pasukan dari segi penyediaan fasiliti dan padang latihan.



“Kita juga selari dengan saranan Tunku Ismail dalam hal ini dan kita juga menunggu persetujuan dengan beberapa pihak untuk perkara ini. Saya boleh katakan sudah hampir 90 peratus.

“Seandainya kita tidak bernasib baik (gagal ke Liga Super), kita akan terus beraksi di Liga M3 tetapi sayanglah kerana persiapan kami sudah menjurus ke arah itu,” katanya.

Terdahulu, KL Rovers menjadi satu daripada tiga pasukan M3 yang berjaya mengemukakan permohonan sehingga tarikh akhir bagi lesen luar biasa untuk menyertai saingan Liga Super musim 2024/25.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menegaskan selain KL Rovers, dua lagi pasukan adalah juara, Imigresen FC dan pasukan di tangga ketiga, Harini.



MFL sebelum ini memberi peluang kepada pasukan Liga M3 untuk menghantar kembali permohonan lesen luar biasa selepas First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan lesen kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024/25.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button