Sektor automotif pacu kenaikan untung DRB-HICOM

Oleh – Syeikh Baran


Sektor automotif pacu kenaikan untung DRB-HICOM
Proton mencatat jualan menggalakkan memberi kesan langsung kepada pendapatan Kumpulan DRB-HICOM. -Gambar hiasan

DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatatkan keuntungan pra-cukai (PBT) sebanyak RM446.9 juta (TK2022: RM410.0 juta) untuk 12 bulan berakhir 31 Disember 2023, naik sebanyak sembilan peratus daripada tahun sebelumnya. 

Ini bersandarkan kepada peningkatan 2.2 peratus dalam hasil, yang berjumlah RM15.9 bilion (TK2022: RM15.5 bilion).



Bagi suku semasa berakhir 31 Disember 2023, Kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM45.7 juta, dengan hasil sebanyak RM3.8 bilion.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, peningkatan PBT Kumpulan untuk TK2023 didorong terutamanya oleh prestasi kukuh dalam sektor automotif yang mana pertumbuhan hasil nya adalah sebanyak  2.3 peratus naik kepada RM11.3 bilion berbanding RM11.1 bilion pada TK2022. 

“Prestasi bertambah baik ini dipacu oleh peningkatan volum jualan kenderaan, prestasi selepas jualan yang kukuh dan inisiatif pengurangan kos operasi yang berkesan,” katanya.

DRB-HICOM menerangkan, Proton mencapai rekod tertinggi baharu dalam jualan kenderaan semenjak 2011 dengan 154,611 unit terjual pada 2023 (TK2022: 141,432 unit). 



Honda mengekalkan kedudukan nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional yang dipegangnya sejak 2014, mencapai sasaran jualan 2023 iaitu lebih 80,000 unit.

Selain itu, sektor perbankan mencapai peningkatan hasil sebanyak 35.3 peratus (TK2023: RM1.7 bilion, TK2022: RM1.3 bilion) disebabkan oleh pendapatan pembiayaan lebih tinggi yang didorong oleh peningkatan dalam volum pembiayaan.

Sektor perkhidmatan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 13.4 peratus (TK2023: RM833.6 juta,TK2022: RM734.8 juta), disumbangkan oleh perniagaan katering dalam penerbangan dengan jumlah penyediaan makanan dan perniagaan pengendalian darat yang lebih tinggi sejajar dengan peningkatan bilangan penerbangan, serta peningkatan pendapatan daripada perniagaan Ar-Rahnu.

Sumber -KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button