Feeya sebak bercerita tentang arwah ibu mertua

 

Oleh Pena Merah

Feeya sebak bercerita tentang arwah ibu mertua
Feeya perlu merelakan pemergian arwah ibu mentua dan menerima suratan takdir biarpun sudah menganggapnya seperti ibu sendiri

Penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar gagal menahan air mata apabila bercerita mengenai keperibadian ibu mentuanya, Allahyarham Asnah Mohd Amin, 73, yang meninggal dunia pada subuh, kelmarin.

Feeya atau mesra disapa Cik Piah bagaimanapun berkata, dia perlu merelakan pemergian ibu mentuanya dan menerima suratan takdir Ilahi biarpun sudah menganggapnya seperti ibu sendiri.



“Arwah memang sudah tak sihat. Beberapa hari sebelum meninggal dunia arwah semakin lemah. Memang ada sakit, tapi tak sangka pergi secepat ini.

“Kami ingat selepas ke hospital dan makan ubat, keadaannya semakin baik, tapi tak sangka Allah tarik nyawanya betul-betul bila masuk waktu subuh, kelmarin.

“Bagaimanapun, kami seluruh ahli keluarga reda dengan pemergiannya dan kita masih perlu teruskan hidup seperti biasa,” katanya ditemui pada sidang media kempen sempena sambutan Aidilfitri anjuran Suria FM iaitu Raikan Yang Dirai di Seri Pacific Hotel, di sini, semalam.

Feeya berkata, sepanjang bergelar menantu kepada Allahyarham Asnah mereka sama sekali tidak pernah bersengketa.



“Sepanjang jadi menantunya, saya tak pernah berbalah atau bergaduh seperti yang kita dengar kes seumpama ini. Alhamdulillah, arwah pergi dalam keadaan sangat tenang dan mudah.

“Kami bersyukur sebab ramai datang ziarah termasuk anak-anak dan cucu arwah. Malam sebelum pergi, kami sekeluarga dapat berkumpul beramai-ramai dan arwah seronok tengok cucu-cucunya datang.

“Dia seorang yang suka tengok seluruh ahli sekeluarga berkumpul sebab seronok dengan gelagat kami. Jadi, saya bersyukur bila kami dapat berkumpul sebelum arwah pergi,” katanya.

Kelmarin, Feeya berkongsi khabar duka mengenai pemergian ibu mentuanya melalui hantaran video di Instagram (IG).



Pada masa sama, Feeya memberitahu, suaminya masih bersedih kerana mempunyai hubungan akrab dengan ibunya.

“Disebabkan suami anak bongsu, jadi memang manja dengan arwah. Saya berkahwin dengan anak bongsu, jadi saya faham bagaimana kemanjaannya dengan ibu.

“Nampak suami sedih, tapi adik-beradik nasihat walau apapun terjadi, kita kena reda. Kenangan memang ada, jadi bila teringat sudah tentu rasa sedih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Feeya menggalas peranan watak utama dalam drama raya Suria FM berjudul Suami Raya termasuk menyanyikan lagu raya terbitan stesen radio berkenaan berjudul Nak Suami Raya. – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button