Diupah RM50,000 bawa dadah RM2.57 juta

Oleh – Syeikh Baran


Diupah RM50,000 bawa dadah RM2.57 juta
Kok Chin (tiga dari kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis methamphetamine bernilai RM2.57 juta dalam satu serbuan oleh JSJN Perak di Kuala Kangsar ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar hari ini. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Meskipun diupah RM50,000 untuk bertindak sebagai penghantar dadah, nasib tidak menyebelahi seorang pekerja kilang apabila dia bersama seorang rakan ditahan polis dalam satu serbuan, di sini.

Rakannya pula bekerja sebagai pendawai diberi upah RM500 untuk menjayakan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang mahu diedarkan di sekitar Perak itu.

Kedua-dua mereka ditahan bersama rampasan dadah bernilai RM2.57 juta serta kereta milik bapa seorang daripada suspek yang digunakan untuk membawa bahan terlarang itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pada 16 Mac 2024, JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah melancarkan serbuan di Kuala Kangsar dan berjaya menahan dua suspek berumur 31 dan 33 tahun.

“Apabila pemeriksaan dibuat sambil disaksikan kedua-dua mereka, dalam bonet kereta tersebut ditemui tiga beg pakaian berzip hitam yang terdapat bungkusan yang disyaki methamphetamine seberat 51.5 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dianggarkan bernilai RM53,000 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan kenderaan berjumlah RM2.623 juta

Kok Chin berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Mac depan bagi membantu siasatan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker