Kerajaan akan umum pendekatan baharu manfaat warga Felda

 

Oleh – Syeikh Baran


Kerajaan akan umum pendekatan baharu manfaat warga Felda
Ahmad Zahid. Foto Bernama

Kerajaan bakal mengumumkan beberapa pendekatan baharu yang akan memberi manfaat kepada warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) minggu depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, beliau berazam untuk melaksanakan perubahan segera kepada Felda terutama dalam soal pendapatan bersih peneroka agar mereka dapat keluar daripada kelompok miskin tegar.



“Ada beberapa pendekatan saya akan umumkan dari semasa ke semasa… terbaharu, minggu depan,” katanya dalam wawancara khas sempena pasca Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 baru-baru ini.

Mengulas prestasi merosot Felda seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, Ahmad Zahid berkata tanggungjawab memulihkan agensi persekutuan itu akan dilihat dalam aspek peneroka dan syarikat di bawah Felda.

“Kita tahu LKAN melaporkan bahawa Felda mengalami kedudukan kewangan yang sangat merosot, laporan audit ini ialah pada Tahun Kewangan 2022, ertinya bukan di bawah kerajaan yang ada sekarang ini. Ia bukan satu blame game dan bukan mahu menyalahkan pihak lain.

“Kebertanggungjawaban pulihkan Felda bukan dilihat daripada segi pengeluaran hasil Felda sendiri (tetapi) tumpuan kena beri kepada peneroka. Keduanya, kita harus lihat syarikat bawah Felda seperti FGV Holdings (FGV Holdings Bhd) dan MSM Malaysia Holdings Bhd,” katanya.



LKAN mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang dibentang di Dewan Rakyat sebelum ini menunjukkan Felda mengalami kerugian selepas cukai sebanyak RM1.005 bilion.

Mengenai ekonomi kitaran dalam Felda, Ahmad Zahid berkata, konsep itu adalah aspek baharu yang perlu dipromosi dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah membentangkannya pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 baru-baru ini.

“Ertinya apa sahaja yang dijadikan sumber asas Felda harus digunakan dan bukan dibuang begitu sahaja.

“Ini adalah sumber yang boleh melahirkan satu pendapatan baharu. Ini satu pendekatan baharu yang sedang dilaksanakan oleh Pengerusi Felda baharu dan didukung oleh pengurusan tertinggi Felda,” katanya.



Beliau juga berkata, kerajaan perlu memikirkan satu kaedah untuk menggalakkan industri ke Felda supaya generasi baharu tidak berhijrah keluar dan berlakunya urbanisasi.

“Peluang ini boleh dibuat dengan memberikan insentif kepada pelabur dalam negeri atau luar negeri… diberi pengecualian cukai jika industri dibawa ke kawasan Felda,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, aspek transformasi digital perlu diberi perhatian di kawasan Felda kerana ia merupakan keperluan utama bagi generasi kedua dan ketiga.

“Pendigitalan kena berlaku adil terutama di kampung tradisional dan kawasan Felda. Mereka juga berhak mendapat pendidikan dalam talian kerana ini adalah pendekatan baharu sistem pendidikan negara,” katanya.



Mengenai isu pemilikan tanah berkait waris peneroka Felda, beliau berkata: “Kita telah mendapat cadangan untuk mengubah Akta Felda itu sendiri termasuk dalam soal pemilikan generasi kedua… Perkara begitu harus dilihat lebih terperinci.’’ – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button