Kerajaan perlu jelas alasan

Oleh – Syeikh Baran


Kerajaan perlu jelas alasan
Kerajaan perlu jelaskan alasan benarkan wakil industri tembakau pengaruhi polisi negara. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Yee Fung)

Kerajaan perlu menjelaskan alasan membenarkan tindakan melobi yang dibuat wakil industri tembakau sehingga boleh mempengaruhi polisi negara sepertimana didedahkan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni baru-baru ini.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, meskipun ia difahamkan untuk tujuan perniagaan bagi menyokong dan menjaga kepentingan masing-masing, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan dalam melindungi kesihatan rakyat di negara ini terlebih dahulu.

“Pendedahan isu ini menampakkan kelemahan kerajaan dalam pembuatan keputusan, jika hari ini mereka benarkan industri tembakau mempengaruhi undang-undang kesihatan awam, adakah industri lain juga akan menentukan keputusan negara pada masa hadapan?

“Kerajaan mungkin sudah beri kuasa membuat keputusan dan mengawal selia kepada perniagaan berskala besar.

“Jadi, adakah pada masa akan datang kawalan ke atas dasar negara tidak lagi terletak kepada kerajaan tetapi mereka yang mempunyai wang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kesihatan ditubuhkan.

Menurut MyWATCH, ia perlu dilakukan terutamanya selepas pendedahan Lukanisman berhubung pengguguran peruntukan generasi penamat (GEG) daripada undang-undang untuk mengawal merokok.

Katanya, isu tersebut memberi kesan kepada tiga perkara iaitu nyahsenarai nikotin daripada Akta Racun 1952, tembakau dan industri berkaitan Gangguan Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam (CSPPH) 2023 dan penghapusan GEG daripada Rang Undang-Undang CSPPH 2023.

Yee Fung yang juga jurucakap parti berkenaan memaklumkan, tindakan sedemikian tidak dinafikan telah melanggar Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau yang pernah ditandatangani kerajaan sebelum ini.

Justeru, menurutnya lagi, kerajaan perlu menangani permasalahan tersebut dengan cara mewujudkan mekanisme akauntabiliti yang telus untuk menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat antarabangsa dan komuniti serantau.

“Menurut kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beberapa tahun lalu, jika jumlah perokok di negara ini tidak berubah menjelang 2025, maka kerajaan perlu membelanjakan RM7.4 bilion untuk merawat rakyat yang menderita penyakit berkaitan merokok.

“Kerajaan wajar mempertimbangkan semula inisiatif mempromosikan gaya hidup lebih sihat kepada seluruh penduduk dan generasi akan datang, memperkasa undang-undang serta mengatur penggunaan e-rokok.

“Bukannya berkompromi dengan syarikat swasta yang mahu mempengaruhi undang-undang kesihatan awam,” ujar beliau.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker