Menerima ugutan,kakak Bella buat laporan Polis

 

Oleh Pena Merah

Menerima ugutan,kakak Bella buat laporan Polis
Norhisham (kiri) bersama adiknya, Allahyarham Bella.

Kakak kepada wanita mangsa bunuh dikenali Bella atau nama penuhnya Mila Sharmila Samsusah membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan daripada individu disyaki mempunyai pertalian dengan bekas teman lelaki arwah adiknya itu.

Difahamkan, Norhisham, 36, atau lebih dikenali Ayu membuat laporan polis jam 11 malam tadi di Johor Bahru selepas menerima dua tangkap layar daripada orang awam yang dihantar kepadanya.



Tangkap layar pertama tertera ayat: “Baru permulaan, game play. Everything will start from now. Ready. Bukan setakat gila saya buat.”

Sementara tangkap layar kedua “Baru setengah hari tunggu la, tak lama lagi mesti sahur dekat dalam huhuhu” yang mana ia dipercayai mempunyai kaitan penahanan reman Ayu selama sehari pada Isnin lalu.

Menurutnya, ada orang awam yang tidak dikenalinya berkongsi tangkap layar terbabit sambil memintanya berhati-hati.

“Jadi saya buat laporan polis lebih kepada ugutan kerana bimbang keselamatan saya dan keluarga. Saya juga takut keselamatan anak-anak Bella… kami takut jika ada pihak cuba mengapa-apakan,” katanya.



Ayu berkata, sejak kes pembunuhan adiknya sehingga pertuduhan terhadap teman lelakinya, dia merasakan seperti ada pihak sedang memerhatikannya.

Disebabkan itu, katanya, dia mengambil sikap berhati-hati terutama ketika keluar rumah kerana bimbang ada individu mengekorinya.

“Saya berasa seperti diperhatikan, macam ada pihak berdendam dengan kami susulan penahanan teman lelaki Bella.

“Bukan apa, saya bimbang mereka akan menyimpan niat lain pada kami,” katanya.



Minggu lalu, Ayu direman sehari selepas ditahan di Balai Polis Batu Pahat susulan laporan berkaitan penyiaran gambar kanak-kanak berusia empat tahun secara langsung di Tiktok.

Dia ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada jam 2.10 pagi. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button