Beri peruntukan yang sama kepada semua bandar di 13 negeri

 

Oleh Pena Merah

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2024 di Istana Negara, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan merancang pembangunan saksama di semua negeri bagi mengawal penghijrahan rakyat ke Kuala Lumpur.

Seri Paduka Baginda bertitah, perhatian dan peruntukan yang saksama seharusnya diberi kepada semua bandar di 13 negeri di Malaysia agar penghijrahan penduduk ke pusat bandar raya dapat dikurangkan dan kesesakan lebih terkawal.



Baginda turut bertitah dengan mempersoalkan adakah peruntukan pembangunan banyak ditumpukan ke tiga wilayah utama hanya kerana ditadbir terus oleh Kerajaan Persekutuan.

“Pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah membuka banyak peluang pekerjaan dan menyebabkan penghijrahan penduduk dari negeri-negeri ke Wilayah Persekutuan.

“Kerajaan terpaksa membangunkan infrastruktur awam yang lebih cekap untuk mengatasi kesesakan jalan raya dan memenuhi keperluan penduduk bandaraya yang semakin padat.

“Persoalannya, adakah kerana wilayah ini ditadbir secara terus oleh Kerajaan Persekutuan, banyak peruntukan pembangunan ditumpukan kepada tiga wilayah ini sahaja?,” titah Seri Paduka Baginda.



Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2024 di Istana Negara, hari ini.

Berangkat sama Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Dalam pada itu, Agong turut bertitah agar masyarakat kota sama-sama menjaga kebersihan dan alam sekitar ekoran keadaan persekitaran berada dalam tahap tidak memuaskan.

Titah Baginda, penguat kuasa perlu jalankan tanggungjawab dengan amanah ekoran kerajaan yang ditadbir bukanlah ‘kerajaan pungut sampah’.



“Semua orang tahu saya suka memandu sendiri, jadi saya dapat melihat dengan jelas keadaan jalan raya dan persekitaraannya.

“Apa yang saya nampak, masih ada beberapa tempat di Kuala Lumpur yang kebersihannya tidak memuaskan.

“Kerajaan saya bukan kerajaan pungut sampah. Kepada penguat kuasa, jalankanlah tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah,” titah Seri Paduka Baginda. – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button