Datuk 70 tahun kesal, isteri 19 tahun mula tunjuk belang
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki berusia 70 tahun dari wilayah Uthai Thani yang pernah tular kerana berkahwin dengan gadis umur 19 tahun, kembali menjadi perhatian ramai disebabkan rumah tangganya kini berantakan, lapor portal berita Wolipop.
Chu Cha mengahwini Pei Pantong yang 51 tahun lebih muda daripadanya, pada Januari lalu.
Dia ketika itu banyak berhabis untuk Pantong termasuk memberikan hadiah pertunangan berupa wang tunai dan emas.
Lelaki itu juga menghadiahkan wanita tersebut 50 ekor babi, 500 ekor ayam dan sebuah telefon bimbit iPhone 13.
Namun, kebahagiaan mereka tidak bertahan lama apabila Pantong dikatakan mula menunjukkan sikap sebenarnya kurang seminggu selepas berkahwin.
Dia dikatakan sering keluar rumah tanpa pengetahuan Chu Cha dan tidak menghiraukan lelaki itu.
Pantong juga didakwa mencuri motosikal Chu Cha dan kerap mengambil wang lelaki itu tanpa pengetahuannya dengan nilai kira-kira 200,000 baht (RM26,256).
Bagaimanapun, Pantong menafikan semua dakwaan tersebut dan berkata, sikap Chu Cha yang terlalu mengawal kehidupan membuatkan kebebasannya disekat.
Tambah Pantong, semua barangan yang didakwa diambil atau digunakan adalah pemberian hadiah daripada Chu Cha yang tetap akan menjadi miliknya walaupun selepas mereka berpisah.
Chu Cha dikatakan melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkaitan, manakala semua tuduhan itu sedang disiasat. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE