Mental saya didera selama setahun – Isteri Safee Sali
Oleh Pena Merah
“Mental saya didera selama setahun”. Demikian kata isteri bekas pemain bola sepak kebangsaan, Fitria Elfina Maharip , 44, berhubung kehidupan sejak setahun lalu sebelum difailkan nusyuz oleh Safee Sali,40.
Kata suri rumah tersebut, pemfailan nusyuz susulan tersebut atas dakwaan dia telah meninggalkan dua anaknya dengan pulang ke Batam, Indonesia.
“Saya tidak tinggalkan anak sebaliknya titipkan (meletakkan) di rumah anak buah saya. Ini susulan kedua-dua pasport mereka dipegang Safee.
“Dia (Safee) juga tidak halang saya untuk pulang (Batam). Saya balik ke Batam sebab mahu mengadu dan meminta ‘perlindungan’ daripada abang.
“Sudah setahun saya bertahan dan didera mental berhari-hari sebelum mengetahui Safee sudah berkahwin baharu secara sembunyi di Siam pada 26 Januari lalu,” katanya ketika ditemui di pekarangan lobi Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Menurut Fitria Elfina, pergolakkan rumah tangga mereka bermula pada Mac tahun lalu apabila berlaku perubahan termasuk Safee tidak membenarkan panggilan video dibuat kepadanya.
Ujarnya, Safee kemudiannya mengakui ingin berkahwin dengan seorang wanita lain kerana dikatakan boleh membantu kerjaya persaraannya.
“Saya ke Batam pada 7 Februari sambil menunggu kedatangannya disebabkan dia mahu berjumpa abang saya. Benda ini (pulang ke Batam) tidak boleh diclaim nusyuz sebab dia tahu saya balik rumah abang.
“Sebelum dia datang, dia lafaz cerai melalui voice note (pesanan suara) kepada saya pada 11 Februari lalu. Sekarang ini, saya pula dihalau dari rumah sewa di Puncak Alam disebabkan Safee Sali hanya membayar sehingga bulan ini sahaja,” katanya.
Ketika ditanya sama ada mempunyai perasaan terhadap bekas penyerang JDT tersebut, Fitria Elfina memaklumkan bahawa Safee Sali seperti tidak menghargai pergorbanannya sebagai isteri dan ibu kepada dua anak mereka.
“Kalau dia buat saya begini, macam sampah selepas 11 tahun mengabdi kepadanya dengan tidak boleh bekerja dan jaga anak sahaja. Apa yang awak rasa. Ketika ini, nafkah zahir juga tidak diberikan olehnya.
“Kini, saya amat bimbang apabila dua anak saya iaitu Shanika Salsabilah,9, dan Shania Safina, 7, tidak lagi bersekolah serta tidak tahu keberadaannya. Hanya surat anak yang dijumpai dalam kereta Safee jadi pengubat rindu,” katanya.
Sementara itu, Peguam Syarie Fauzan Ziman Hassan mewakili Fitria Elfina memaklumkan Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar menetapkan 26 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes tuntutan nusyuz serta pendengaran kes lafaz cerai.
“Ini bagi memberikan peluang kepada anak guam meneliti dokumen tersebut yang baharu diperoleh semalam dan akan menyatakan pendirian (berhubung nusyuz) pada tarikh sebutan semula itu.
“Safee tidak datang dan hanya diwakili peguam ,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Fitria Elfina mendedahkan sudah lebih sebulan tidak berjumpa dua anak mereka selepas diambil Safee ketika ketiadaannya di rumah sebelum memfailkan tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dekat sini. –KOSMO!ONLINE