Polis menemui hanya 5 pasang stoking kalimah Allah di kilang

 

Oleh Pena Merah

Polis menemui hanya 5 pasang stoking kalimah Allah di kilang
Ismail pada sidang media selepas pemeriksaan ke atas kilang berkenaan di kawasan perindustrian Sri Gading hari ini

Polis menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah dalam sebuah kilang yang beroperasi di kawasan perindustrian Sri Gading, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata bagaimanapun hasil siasatan mendapati kelima-lima pasang stoking itu adalah yang dipulangkan oleh tiga kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway.



Beliau berkata, siasatan awal mendapati stoking itu ditempah daripada sebuah syarikat di China dan kilang berkenaan hanya terbabit dalam pembungkusan dan pengedaran untuk pasaran tempatan, khususnya kedai serbaneka KK Mart.

Katanya, operasi membabitkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat itu menjalankan pemeriksaan ke atas 16 bundle stoking yang diimport dari China.

“Dalam 16 bundle (stoking) terdiri 18,800 pasang itu, polis tidak menemui stoking baharu yang tertera kalimah berkenaan setakat ini.

“Untuk itu, polis membuka tiga kertas siasatan berhubung isu ini antaranya Seksyen 298 A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan. Siasatan juga selari dengan siasatan dijalankan Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman,” katanya pada sidang media selepas pemeriksaan ke atas kilang itu hari ini.



Ismail berkata, pemeriksaan dijalankan susulan maklumat diterima menyatakan kilang itu terbabit dengan pengedaran stoking tertera kalimah Allah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pemeriksaan ke atas semua stoking diimport dari China dijangka selesai hari ini.

“Saya mohon semua pihak termasuk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu supaya tidak ambil tindakan menyalahi undang-undang seperti perhimpunan, ‘flash mob’ atau demonstrasi berkaitan dengan isu ini.

“Semua pihak diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan, malah kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau NGO ataupun pertubuhan yang melakukan tindakan menyalahi undang-undang,” katanya.



Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Ia menyebabkan polemik berterusan membabitkan Pemuda UMNO yang menggesa supaya rangkaian KK Mart diboikot, manakala MCA pula mengkritik tindakan itu yang disifatkan terlalu agresif.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu dilaporkan berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.



Pengendali rakaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button