3 wanita dicekup disyaki samun pemilik restoran RM300,000

Oleh – Syeikh Baran


3 wanita dicekup disyaki samun pemilik restoran RM300,000
Kereta dinaiki mangsa sebelum disamun RM300,000 ketika berhenti tepi jalan pada Jumaat lalu. IHSAN PDRM

Tiga wanita tempatan ditahan disyaki terlibat dalam kes samun pemilik restoran membabitkan urus niaga emas sehingga mengalami kerugian bernilai RM300,000 di Taman Melawati, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 31, 54 dan 58 tahun ditahan susulan laporan mangsa yang berusia 27 tahun.

Menurutnya, mangsa bersama rakannya membuat urus niaga jongkong emas dengan seorang wanita dan lelaki di sebuah pusat beli-belah, di sini, pada pukul 1 tengah hari.

“Mangsa diminta menaiki sebuah kereta Proton Gen2 untuk mengambil emas berkenaan dan didakwa dibawa pusing tiga kali mengelilingi pusat beli-belah tersebut.

“Kemudian, mereka ke Jalan G1 dan kereta itu berhenti di tepi jalan sebelum empat suspek lelaki warga asing dengan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah kepala mangsa.

“Suspek juga menggunakan penyembur lada dan merampas beg mengandungi wang tunai berjumlah RM300,000. Kesemua suspek telah melarikan diri dengan menaiki kereta lain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan seorang wanita di Taman Melawati, di sini, pada pukul 7.15 malam.

“Susulan tangkapan itu, kita berjaya menahan dua lagi wanita di sebuah unit kondominium di Jalan Ampang pada pukul 11.40 malam, Sabtu lalu,” jelasnya.

Menurut Mohd. Azam, suspek pertama direman lima hari hingga 20 Mac manakala dua lagi suspek direman sehingga 23 Mac mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Suspek ketiga mempunyai empat rekod jenayah dan positif dadah dan kita masih mengesan empat lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan bergelar Datuk,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker