Ladang haram warga asing: KPKM risau risiko sayur tak selamat

Oleh – Syeikh Baran


Ladang haram warga asing: KPKM risau risiko sayur tak selamat
Ladang atau kebun sayur haram diusahakan warga asing tidak dipantau Jabatan Pertanian terutama dari segi pematuhan Amalan Pertanian Baik (APB) dalam aktiviti pertanian diusahakan.

Ladang diusahakan secara haram oleh warga asing dan tidak dipantau berisiko membahayakan kesihatan pengguna berikutan salah guna racun makhluk perosak (RMP), selain penggunaan bahan itu secara haram.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, berkata tindakan sedemikian serta lain-lain salah laku susulan kegiatan warga asing yang tidak dipantau akan menyebabkan pengeluaran hasil tanaman yang tidak selamat untuk dimakan.



Beliau menegaskan, ladang atau kebun sayur haram diusahakan warga asing tidak dipantau Jabatan Pertanian terutama dari segi pematuhan Amalan Pertanian Baik (APB) dalam aktiviti pertanian diusahakan.

“Adalah menjadi kebimbangan sekiranya terdapat ladang sayur-sayuran yang diusahakan secara haram oleh warga asing ini yang tidak dapat dipantau oleh Jabatan Pertanian dari segi pengamalan APB dalam aktiviti pertanian yang diusahakan.

“Tindakan segera oleh pihak berkuasa adalah wajar bagi membendung aktiviti berkenaan kerana ia boleh menjejaskan industri agromakanan negara serta mendatangkan

kemudaratan kepada rakyat Malaysia, terutamanya disebabkan oleh penggunaan RMP yang tidak terkawal.



“Pemantauan secara bersama dengan pihak yang terbabit juga perlu dibuat secara berkala bagi menangani isu ini,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk laporan eksklusif BH Ahad lalu mengenai rantaian perbekalan sayur-sayuran di Malaysia yang didakwa mula dikuasai pendatang asing yang turut dipercayai makin memperluaskan kebun diusahakan mereka secara haram dengan saiz keseluruhan kini dikatakan hampir 1,000 hektar.

Kegiatan berkenaan yang dikatakan mula aktif sejak lima tahun lalu didedahkan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia yang membuat pemantauan dan risikan melalui ahlinya di seluruh negara

Pengerusinya, Lim Ser Kwee, dilaporkan mendakwa pendatang asing warga Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya kini membina rangkaian dari peringkat kebun sayur, pengedaran hinggalah jualan di lot niaga beberapa pasar borong utama di Semenanjung.



Dalam pada itu, Nor Sam berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil maklum laporan BH berkaitan isu warga Bangladesh, Indonesia, Rohingya kuasai industri sayur yang dilaporkan Ahad lalu.

Bagaimanapun, katanya, KPKM menerusi Jabatan Pertanian hanya menjalankan siasatan ladang bagi permohonan pekerja asing subsektor tanaman yang dimohon oleh majikan atau pengusaha projek pertanian warga tempatan yang mempunyai dokumen hak milik, pajakan atau sewa tanah yang sah sahaja.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian tidak mempunyai kuasa menguatkuasa sebarang akta berkaitan pencerobohan tanah haram untuk aktiviti pertanian oleh warga asing atau tempatan.

“Jabatan Pertanian hanya boleh mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 iaitu untuk kawalan pengimportan, perkilangan racun makhluk perosak dengan pendaftaran dan permit serta penguatkuasaan.



“Selain itu, Jabatan Pertanian berperanan untuk memberi bimbingan kepada pengusaha projek pertanian subsektor tanaman mengenai APB dan menggalakkan pengusaha untuk memohon dan memperoleh pensijilan myGAP.

“Pensijilan myGAP mengiktiraf ladang yang mengamalkan APB bagi mengeluarkan makanan yang selamat dimakan dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar, serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.

“Jabatan Pertanian juga menyediakan bimbingan kepada pengusaha melalui program pengembangan seperti kursus, taklimat, seminar, bengkel, sesi libat urus, lawatan ladang dan lain-lain,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading