Negara asing tarik kekebalan kita di luar negara, kita tarik kekebalan mereka di Malaysia – Azalina

Oleh – Syeikh Baran


Negara asing tarik kekebalan kita di luar negara, kita tarik kekebalan mereka di Malaysia - Azalina
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menjawab asakan pembangkang ketika menggulung RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 di Dewan Rakyat. – BERNAMA

Kerajaan menangkis dakwaan pembangkang bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini, akan memberi sepenuhnya kuasa pengecualian kepada Perdana Menteri.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan Majlis Kekebalan Negara Asing diwujudkan di bawah undang-undang itu akan memandu serta mengesyorkan sebarang bentuk pengecualian.

Beliau berkata, perbandingan adalah jelas dalam undang-undang digubal untuk negara ini dengan pelaksanaan di negara lain yang lebih awal menguatkuasakan undang-undang sama.



“Negara seperti United Kingdom (UK) dan Australia tidak ada majlis. Di sana, dia satu orang sahaja buat keputusan (beri pengecualian). Kita ada majlis dan majlis kita lebih daripada seorang.

“Perlindungan yang kita beri lebih banyak berbanding Kanada, Australia dan United Kingdom. Tak boleh kata dalam isu mendapatkan kekebalan di mahkamah Malaysia, kita kena memanggil apa yang wujud kuasa (Yang di-Pertuan Agong) di bawah Perlembagaan.

“Kita sudah bentangkan kepada Majlis Raja-Raja, terangkan kepada raja-raja apa yang diwujudkan iaitu satu undang-undang prosedur sebab ini isu pentadbiran.

“Soal kedaulatan tidak ada dalam isu (penggubalan undang-undang) ini. kedaulatan ada dalam akta MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya.



Beliau berkata demikian ketika menggulung RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini, selepas beberapa wakil rakyat pembangkang bangun mengasak dan mendesak supaya RUU itu dibawa kepada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk pindaan terhadap fasal 32 dan 33 yang didakwa terlalu memberi kuasa penuh kepada Perdana Menteri.

Azalina berkata, undang-undang itu diwujudkan untuk membolehkan mahkamah Malaysia memanggil dan mendakwa mana-mana pihak yang dilihat cuba mencabar kedaulatannya di luar negara.

“Kalau dia tarik kebal kita di negara asing, kita tarik kebal dia di sini, itu sahaja yang kita minta. Berbanding negara lain, kita ada majlis, pasal kedaulatan ini bukan pindaan akta MKN, ini berkenaan dengan imuniti (negara),” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU yang bertujuan mengawal selia kekebalan diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.



RUU yang dibahaskan oleh 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semalam, diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat selepas dibentang pertama kali pada 29 November lalu oleh Azalina.

Kelulusan RUU itu diumumkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.

Sepanjang sesi penggulungan itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun mempertikaikan penjelasan Azalina sehingga mengundang kekecohan di Dewan.

Bagaimanpun, situasi itu berjaya dikawal Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat.



Sementara itu, ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pada sidang media selepas itu menjelaskan, pihaknya tidak menolak penggubalan undang-undang berkenaan, sebaliknya mempertikaikan hasrat kerajaan memberi sepenuhnya kuasa pengecualian kepada Perdana Menteri.

“Bukan kita nak tolak undang-undang ini. Undang-undang ini baik, kita juga bersetuju tapi kita mahu hal pengecualian ini yang sangat penting dan kritikal. Itu yang menyebabkan kita tidak bersetuju dengan undang-undang yang seakan ‘dirempuh’ begitu sahaja.

“Kita rasa ada ruang menambah baik undang-undang ini. Satu sahaja yang kita minta iaitu Perdana Menteri selepas berbincang atau berunding dengan Agong.

“Apa salahnya? Ini mereka mahu sangat (pengecualian hanya diberi kepada) Perdana Menteri, ini yang rakyat dan kita persoalkan.



“Kalau mereka berfikir lebih berkepentingan pada masa depan, saya tidak mahu esok ada seorang Perdana Menteru yang boleh kena ‘cubit’ dengan (negara) super power, kena beri pengecualian, jawablah nanti,” katanya.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, Majlis Kekebalan Negara Asing yang diwujudkan di bawah undang-undang itu akan dipengerusikan Perdana Menteri.

“Kenapa majlis itu dipengerusikan Perdana Menteri? Kalau majlis itu boleh membuat satu perakuan tapi Perdana Menteri buat satu perintah, tak kenalah.

“Itu sebabnya kita cadangkan ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong diberikan kuasa pengecualian ini,” katanya.



Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading