Tentera Darat dijangka terima helikopter Black Hawk bulan depan

Oleh – Syeikh Baran


Tentera Darat dijangka terima helikopter Black Hawk bulan depan
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Tahfiz Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) pada Majlis Berbuka Puasa Peringkat Tentera Darat Tahun 2024 di Masjid Thoriq Ziyad Sungai Besi hari ini. – Foto BERNAMA

Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima penghantaran pertama helikopter Black Hawk pada April ini, kata Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Beliau berkata, penghantaran peringkat pertama itu membabitkan satu daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat.



Katanya, helikopter berkenaan sepatutnya diterima oleh TDM pada November tahun lalu, bagaimanapun susulan beberapa kekangan membabitkan kontraktor dan pengeluar helikopter berkenaan menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.

“Bagaimanapun kontraktor telah memberikan janji mereka untuk menghantar helikopter pertama bulan depan dan saya harap ia dipenuhi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa Tentera Darat di Masjid Thoriq bin Ziyad, Kem Perdana Sungai Besi di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri.



Ditanya mengenai faktor kelewatan itu, Muhammad Hafizuddeain enggan membuat sebarang spekulasi, bagaimanapun menegaskan TDM amat memerlukan perkhidmatan helikopter berkenaan bagi tujuan latihan dan operasi.

Pada Mei tahun lalu, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan Aerotree Defence & Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Sementara itu, di majlis berkenaan TDM turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada 16 asnaf dan ahli keluarga anggota pasukan yang menghadapi masalah kesihatan.

Turut diserahkan sumbangan barangan makanan dan keperluan kepada masjid di dalam kem TDM seluruh negara.



Sebanyak 1,000 warga TDM serta ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) termasuk lapan bekas Panglima Tentera Darat hadir ke majlis berkenaan.– BERNAMA

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading