Zoey diajak menjadi kekasih

 

Oleh Pena Merah

Zoey diajak menjadi kekasih
ZOEY Rahman hanya menganggap Mass Factor sebagai sahabat dan tidak pernah terlintas di hati untuk mempermainkan perasaan wanita asal Singapura itu.

Pelakon dan usahawan Zoey Rahman tidak menyangka seorang wanita dikenali sebagai Mass Factor yang sering mengadakan sesi siaran langsung bersamanya dalam TikTok secara tiba-tiba meluahkan perasaan terhadapnya untuk menjadi kekasih.

Zoey ketika ditemui berkata, dia terkejut dengan pengakuan wanita dari Singapura dan berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) itu kerana mereka baru sahaja berkenalan kira-kira seminggu, sebelum wanita terbabit meluahkan perasaan terhadapnya secara langsung.

“Kira-kira seminggu selepas kami berkenalan dalam TikTok, dia telah meluahkan perasaan untuk menjadi kekasih saya. Memang kami ada keserasian, buat lawak, berlakon sampai pukul tiga empat pagi.

“Kami pun gembira apabila ramai pengikut suka tengok kami berlakon, tapi selepas itu timbul isu lain pula yang lebih ke arah bersifat peribadi.

“Saya cakap kepada dia (Mass Factorz) bahawa hubungan kami hanya sekadar kawan atau ‘bestie’ sahaja. Tapi dia mahukan lebih daripada itu. Sedangkan kami baru seminggu kenal, jumpa pun belum lagi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 39, lagi, selepas dia memujuk dan memberikan nasihat, wanita itu faham namun telah menyekat (block) dirinya dalam semua platform media sosial.

Pada masa sama, Zoey ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Mikaseries di sini, kelmarin, mengakui menyedari dirinya dikecam netizen malah dituduh mempermainan perasaan wanita tersebut kerana layanannya seolah-olah memberi harapan kepada Mass.

“Ada pihak menyalahkan saya, kata seolah-olah saya beri harapan dengan cara layanan baik. Tapi saya beritahu, memang ini cara saya. Kalau saya anggap mereka budak, takkan kita nak guna ayat kurang ajar pula?

“Tapi bila orang salahkan saya, okey saya akui itu kesilapan saya. Mungkin selepas ini saya akan layan santai-santai sahaja. Tak adalah nak manja-manja sangat.

“Dia (Mass) meluahkan secara jujur dan saya tidak boleh salahkan dia juga sebab tahu keadaan dia macam mana. Tapi sekarang kami sudah jadi kawan baik, dah okey dan tiada masalah. Cuma selepas ini saya akan berhati-hati,” katanya.

Terdahulu, gara-gara sering melakukan sesi siaran langsung bersama Mass dalam TikTok, Zoey dituduh netizen mempergunakan wanita OKU itu untuk mempromosikan rangkaian produk kosmetik keluaran syarikatnya.

Dek keakraban mereka, timbul rasa cinta dalam diri wanita terbabit sehingga dia meluahkan perasaannya terhadap Zoey untuk menjalinkan hubungan lebih serius.

Zoey bagaimanapun menjelaskan dia tidak berniat mempergunakan Mass, sebalinya ikhlas membantu wanita OKU itu selain sekadar menghiburkan pengikutnya dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker