Tujuh beranak bergantung hidup hasil jual tebu

Oleh – Syeikh Baran


Tujuh beranak bergantung hidup hasil jual tebu
ROSLAN menunjukkan tebu yang dibelinya pada harga RM1.50 sebatang di rumahnya di Kampung Pak Khalid, Pekan Nanas, Pontian baru-baru ini.

Seorang bapa hanya bergantung hidup dengan hasil jualan air tebu bagi menampung kehidupan mereka tujuh beranak yang hidup susah.

Roslan Safar, 53, berharap musim panas ketika ini dapat meningkatkan hasil jualan air tebu sekurang-kurang membawa pulang RM70 sehari.

Katanya, pendapatan itu bagi memastikannya perbelanjaan harian termasuk anak-anak ke sekolah dan belanja dapur mencukupi selain persiapan untuk menyambut hari raya nanti.



Menurutnya, dia mempunyai lima anak iaitu tiga perempuan dan dua lelaki yang berusia 3 hingga 13 tahun.

“Anak-anak saya masih lagi kecil dan empat daripada mereka bersekolah di sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika. Bagi perbelanjaan sekolah anak-anak, saya memerlukan RM30 sehari.

“Saya sendiri menghantar mereka ke sekolah setiap hari sebelum berniaga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Khalid, Pekan Nanas, di sini baru-baru ini.

Roslan memberitahu, isteri­nya, Nordasirah Abd Manan, 30, akan mengambil tugas berniaga air tebu semasa dia mengambil anaknya di sekolah.



Katanya, cuaca panas ketika ini telah membantu meningkatkan pendapatannya apabila jumlah pelanggan semakin ramai.

“Saya tiada sumber pendapatan lain selain menjual air tebu di Simpang Jalan Parit Haji Adnan-Melayu Raya sejak setahun lalu.

“Mujurlah ada Bantuan Awal Persekolahan, duit itu telah digunakan untuk membeli pakaian sekolah anak-anak,” ujarnya.

Menurutnya, dia membeli sebatang tebu pada harga RM1.50, tetapi kebiasaannya tidak membayar ketika itu, sebaliknya selepas habis berniaga.

“Saya baru pindah ke Kampung Pak Khalib pada tahun lalu. Saya buat rumah kecil dengan modal RM3,000 di atas tanah milik saya tanpa bilik dan dapur yang sempurna.

“Saya bersyukur kerana me­nerima bantuan baik pulih rumah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor,” ujarnya.

Ditanya mengenai juadah berbuka puasa, dia hanya mampu menyediakannya kepada anak-anaknya mengikut kemampuan seperti ikan goreng, sayur air, kicap dan sedikit kuih-muih.

“Persiapan hari raya pun tidak tahu lagi, bergantung kepada jualan air tebu nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh meng­hubungi Nordasirah di talian 014-3953 982.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker