Bayar gaji guru Pasti lebihi paras minimum

Oleh – Syeikh Baran


Bayar gaji guru Pasti lebihi paras minimum
Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil

Pas perlu mencari dana tidak kira daripada sumbangan ahli, pemimpin parti atau melalui syarikat dimiliki penyokongnya supaya guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sekurang-kurangnya mendapat gaji bulanan melebihi paras gaji minimum.

Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil berkata, Pas perlu bersikap adil terharap guru-guru berkenaan dan tidak mencipta alasan untuk menutup kepincangan yang berlaku.

“Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, pimpinan serta penyokong parti berkenaan perlu melihat isu Pasti ini dari sudut positif dan kemanusiaan, bukan dari kaca mata politik.



“Isu utama ialah mempertahankan hak pekerja dan masa depan murid Pasti, Afnan jangan mencipta pelbagai alasan demi menutup kepincangan pengurusan Pasti di bawah Pemuda Pas pimpinan kamu,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Afnan yang mempersoalkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang mahu menyiasat Pasti walaupun semua gurunya merupakan ‘sukarelawan’.

Sebelum itu tular satu memo daripada JTKSM mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti.

Arahan siasatan tersebut turut melibatkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI kerana membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500.



Guru-guru Pasti didakwa dibayar serendah RM500 bergantung yuran dibayar ibu bapa dan kadarnya pula berbeza mengikut kawasan selain dilaporkan tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tidak mempunyai pencen dan tidak dibayar tuntutan kerja lebih masa.

Mengulas lanjut, Fadzmel mendakwa, hujah Afnan bahawa guru adalah sukarelawan dan Pasti bukan tadika adalah perkara ‘bahaya’.

“Jika guru hanya sukarelawan, adakah bermakna pertubuhan-pertubuhan lain boleh membayar gaji pekerja mereka tanpa mengikut akta atas sebab mereka inipun sukarelawan. Bukankah ini mempermainkan undang-undang yang dipersetujui bersama?

“Hujah Afnan bahawa guru Pasti hanya sukarelawan adalah batil kerana terdapat bukti-bukti surat rasmi termasuk penamatan kerja yang merujuk mereka sebagai guru dan bukannya sukarelawan parti,” dakwanya lagi.

Fadzmel turut mempersoalkan tentang kebajikan kanak-kanak yang bersekolah di pusat berkenaan seandainya ia tidak sebagai sebuah sekolah.

“Jika Pasti bukan sekolah dan hanya program parti, adakah ini bermakna mana-mana parti boleh menanam doktrin kepartian kepada anak kecil dari awal?

“Bagaimana pula dengan anak kecil jika kebajikan mereka tidak terlindung dari segi undang-undang apabila Pasti diiktiraf sebagai bukan sekolah,” soalnya.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker