Pegawai SPRM buka aduan terhadap Wan Saiful

Oleh – Syeikh Baran


Pegawai SPRM buka aduan terhadap Wan Saiful
Bekas Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful ketika menghadiri perbicaraan kes rasuah dan penggubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini beliau diarah membuka aduan bertulis yang mendakwa Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Penguasa Khusyaini Adhillah Mat Aripin, 37, berkata, beliau menulis aduan itu pada pukul 10.18 pagi, 27 Januari 2023 selepas menerima maklumat lanjutan daripada siasatan satu kes lain yang tidak didedahkan di mahkamah.

Ujarnya, maklumat itu menyatakan Wan Saiful yang ketika itu Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa meminta dan menerima rasuah daripada Syarikat Nepturis Sdn. Bhd. pada 2022.

Menurut saksi pendakwaan pertama, wang RM6.9 juta itu sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

“Aduan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Akta SRRM 2009,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama perbicaraan terhadap Wan Saiful.

Khusyaini yang kini bertugas di Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya berkata, sebelum aduan itu ditulis, beliau terlebih dahulu berbincang dengan Ketua Cawangan Siasatan B, Bahagian Siasatan, Penolong Pesuruhjaya Mazery Mohd. Zaini.

Ujarnya, selepas aduan dibuat, beliau menyerahkan sesalinan aduan kepada Unit Rekod Sektor Awam untuk diambil tindakan agar siasatan dijalankan.

Ketika disoal balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad, saksi menafikan beliau membuat aduan palsu atau berniat jahat terhadap Wan Saiful sebaliknya hanya menerima arahan untuk membuka aduan.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, Khusyaini berkata, beliau tidak bersetuju aduan itu adalah palsu dan berniat jahat kerana mana-mana pegawai SPRM yang mengesyaki terdapat maklumat tentang kesalahan di bawah akta SPRM, ia boleh didaftar dalam borang aduan.

Saksi berkenaan turut menyatakan tidak tahu ketika ditanya bahawa syarikat boleh mendapat suntikan kewangan untuk menjalankan operasi.

Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan membantu Nepturis mendapatkan projek berkenaan secara prakelayakan.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada Nepturis sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022.

Wan Saiful turut didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dan perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker