Saf lompong tak batalkan pahala jemaah, tapi rugi pahala kesempurnaan solat
Oleh – Syeikh Baran
Malah, ada orang yang turut mempertikaikan tentang adab dan status solat jemaah tersebut.
Kepada Sinar Islam, Pensyarah Kanan Wacana Aqidah, Fiqh dan I’jaz Al-Quran, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan, sebaik-baik saf dalam solat adalah yang lurus dan rapat.
Malah, ia menjadi keutamaan kepada saf lelaki mahupun wanita kerana termasuk salah satu daripada kesempurnaan solat.
“Ini bermakna, saf ini ada pahalanya sekiranya kita laksanakannya dalam barisan yang lurus dan rapat.
“Cuma kita rugi kerana tidak mendapat kesempurnaan dari sudut pahala disebabkan pahala saf tersebut. Mengertilah, saf itu satu keutamaan dalam Islam dan juga dari sudut menentukan atau meletakkan saf-saf itu,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menyambung hujah, antara hikmah mengapa umat Islam disuruh merapatkan dan meluruskan barisan solat adalah kerana untuk menjalin kasih sayang dan ukhuwah.
“Kalau kita rapatkan saf, ia seolah-olah maknanya kita hendak rapat sama-sama. Jadi ukhuwah dan kasih sayang itu kuat. Syaitan hendak masuk di celah-celah itu tak boleh.
“Sekiranya saf tidak rapat, maknanya ada kepincangan dari sudut kesepaduan dan kasih sayang dalam kalangan kita kerana meluruskan saf tersebut termasuk dalam adab-adab dalam solat jemaah,” terangnya.
Lantaran itu, Mohd Sukki menyarankan agar imam mengingatkan para jemaah supaya merapatkan saf dan meluruskan barisan sebelum memulakan solat.
“Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan, tidak mahu ada yang lompong sana dan sini atau terdapat kekurangan. Kalau boleh, biarlah kita dapat fadilat sebaik mungkin terutama dalam bulan Ramadan ini,” katanya.
Beliau kemudian mengemukakan hadis yang memerihalkan supaya kita melurus dan merapatkan saf ketika solat.
Daripada Abu Mas’ud RA yang berkata: “Adapun Rasulullah SAW memegang bahu-bahu kami ketika hendak solat sambil berkata: Luruskanlah (saf kamu) dan jangan kamu berselisih hingga hati kamu turut berselisih.” (Hadis Riwayat Muslim)
Melihat ungkapan hadis itu, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menjelaskan, ia memberi gambaran kalaulah saf tidak cantik, perkara tersebut turut memberi kesan kepada hati yang turut berselisih.
“Malah, dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW menyuruh supaya meluruskan saf atau ALLAH akan memalingkan wajah di antara mereka. Ini bermaksud, ALLAH tidak suka kepada orang yang tidak meluruskan saf.
Mengulas tentang kemungkinan jemaah wanita membiarkan saf lompong kerana menganggap saf di belakang lebih baik, berikut respons Dr Mohd Sukki:
“Memang ada hadis yang menyatakan sebaik-baik saf bagi perempuan adalah saf yang terakhir dan seburuk-buruk saf perempuan adalah saf-saf terawal.
“Bagaimanapun, kita kena faham betul-betul hadis itu. Menurut Imam An-Nawawi, saf yang dimaksudkan ‘sebaik-baik saf wanita adalah di belakang’ itu adalah apabila tiada pemisah antara lelaki dan wanita.
“Seandainya ada pemisah seperti tabir dan saf perempuan di belakang tidak bercampur dengan lelaki serta sebagainya, para ulama menyatakan, saf awal paling utama,” ungkapnya.
Sumber – SINAR HARIAN