Polis rujuk kes kepada SKMM

Oleh – Syeikh Baran


Polis rujuk kes kepada SKMM
Polis merujuk insiden pertengkaran mulut sebuah keluarga yang tular di media sosial ke SKMM bagi tindakan lanjut. – Foto tular

Polis merujuk insiden pertengkaran mulut membabitkan sebuah keluarga di sini yang video mengenainya tular di media sosial kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata polis menerima dua laporan insiden itu daripada suami isteri berkenaan.



Katanya, laporan pertama dibuat oleh lelaki berumur 53 tahun itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan anak perempuannya sendiri menyebarkan video pertengkaran mulut antara beliau dan isteri yang dianggap boleh menjejaskan maruah dan kerjayanya.

Laporan kedua pula diterima dari wanita juga berumur 53 tahun yang merupakan isteri pengadu pertama itu, dengan laporan itu berkaitan kejadian sama di mana beliau tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya yang menuduh dengan pelbagai tuduhan semasa kejadian pertengkaran itu.

Polis sudah memanggil serta menasihatkan anak dan isteri pengadu itu agar memadam video itu bagi menjaga nama baik keluarga, dengan tujuan laporan dibuat adalah untuk menghentikan penyebaran video berkenaan.

“Kes ini dirujuk ke agensi lain iaitu SKMM bagi tindakan lanjut. Bagi laporan yang dibuat isteri lelaki itu, tujuan laporan dibuat adalah untuk rujukan mahkamah kerana beliau dan suami dalam proses tuntutan perceraian.



“Polis sentiasa bersedia membantu dan menjaga keharmonian masyarakat dalam apa jua situasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, insiden pertengkaran itu tular di media sosial X apabila ia didedahkan sendiri oleh seorang pengguna, a_safiah yang dipercayai anak perempuan sulung keluarga terbabit menerusi satu rantaian hantaran pada semalam.

Berdasarkan hantaran yang sudah dipadamkan itu, lelaki penjawat awam di Gopeng didakwa bertindak melampaui batas dengan mengasari anak dan isterinya sehingga menyebabkan ahli keluarga mereka mengalami masalah mental.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button