Kumpulan Dolla muncul di program realiti TV di China

 

Oleh Pena Merah

Kumpulan Dolla muncul di program realiti TV di China
Penampilan Dolla pada episod pertama Show It All yang disiarkan secara eksklusif di platform penstriman, Mango TV adalah sebagai kumpulan senior yang akan berkongsi dengan peserta lain mengenai pengalaman sepanjang bergelar anak seni.

Kemunculan dalam program realiti televisyen (TV) di China, Show It All, baru-baru ini memberi impak positif kepada kumpulan sensasi, Dolla apabila berpeluang mengembangkan bakat dan karya ke peringkat antarabangsa.

Anggota Dolla, Sabronzo, berkata mereka dapat menimba ilmu dan pengalaman baharu yang membantu memperbaharui teknik persembahan.



Biarpun hanya diundang untuk membuat persembahan dan berkongsi pengalaman, Sabronozo menyifatkan itu adalah pengalaman manis yang tidak boleh dilupakan kerana sambutan diterima daripada peminat menggalakkan.

“Show It All adalah program realiti TV pertama dari luar negara yang kami terbabit. Kemunculan kami sebagai kumpulan undangan untuk membuat persembahan dan berkongsi nasihat mengenai beberapa perkara kepada kumpulan lain.

“Apabila dapat buat persembahan di hadapan penonton dari China, kami tak jangka akan dapat sambutan yang sangat baik, walaupun nyanyian disampaikan dalam bahasa berbeza.

“Lagu kami menggabungkan dua bahasa iaitu Inggeris dan Melayu, tapi kami dapat lihat penonton sangat seronok. Malah, kami lihat komen dan maklum balas di media sosial juga sangat baik.



Kumpulan Dolla muncul di program realiti TV di China
Selain Dolla, program realiti, Show It All China yang disiarkan bermula Khamis lalu turut menampilkan beberapa kumpulan wanita baharu sebagai peserta seperti Pixxie, BoysWorld, Bini dan G22. Foto IG Dolla

“Selain menjalani proses pertukaran budaya dengan kumpulan dari China, kami juga banyak belajar bagaimana cara mereka bekerja dan berlatih. Itu satu pendedahan baik buat kami,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, penampilan Dolla pada episod pertama Show It All yang disiarkan secara eksklusif di platform penstriman, Mango TV adalah sebagai kumpulan senior yang akan berkongsi dengan peserta lain mengenai pengalaman sepanjang bergelar anak seni.

Tawaran yang diterima daripada penerbit program realiti berkenaan iaitu, Exo Lay Zhang menjadi satu peluang besar untuk Dolla yang turut dibarisi Angle, Syasya dan Tabby bagi mencari pengalaman baharu di peringkat antarabangsa.

Sabronzo berkata, walaupun berdepan sedikit tekanan untuk tampil di hadapan peminat China kerana faham dengan ‘kegilaan’ mereka terhadap penyanyi berkumpulan, dia bersama rakan seperjuangan lain tetap berusaha memberi yang terbaik.



“Saya akui, ‘vibe’ ketika membuat persembahan di sana sedikit berbeza berbanding di Malaysia. Disebabkan ramai peminat di sana begitu tertarik dengan penyanyi berkumpulan, jadi kami faham bagaimana standard yang dimahukan.

“Walaupun ada sedikit tekanan, tetapi semua peminat di sana beri sokongan yang sangat menggalakkan. Jadi, kami rasa tidak ada masalah dan akhirnya dapat berikan yang terbaik,” katanya.

Mengulas budaya kerja di sana, Sabronzo mengakui sedikit mencabar kerana perlu membiasakan diri dengan jumlah kamera yang banyak.

“Selepas tonton semula video persembahan di sana, kami pula yang berdepan kejutan budaya sebab terpukau dengan keistimewaan dan cara mereka bekerja.



“Untuk program realiti itu, sebanyak 50 kamera digunakan dan dibahagikan lima atau enam kamera untuk setiap seorang. Jadi, bila kami tonton semula video persembahan ada macam-macam ‘shot’ cantik yang boleh dapat.

“Namun, itu antara cabaran juga sebab perlu sesuaikan diri. Sebelum buat persembahan, kena ambil masa untuk buat persediaan dan berbincang dengan produksi.

“Mereka akan beritahu apa yang kurang sama ada daripada segi riak wajah atau sebagainya. Sudah tentu produksi mereka lagi besar dan ramai kru jadi boleh buat begitu. Itu adalah pengalaman menarik buat kami,” katanya.

Show It All China yang disiarkan bermula Khamis lalu turut menampilkan beberapa kumpulan wanita baharu sebagai peserta seperti Pixxie, BoysWorld, Bini dan G22. – Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading