‘Buah pinggang sudah ada, duit pula tiada’

Oleh – Syeikh Baran


‘Buah pinggang sudah ada, duit pula tiada’
Siew Foong (kanan) berharap anaknya, Chai Shi dapat menjalani pemindahan buah pinggang dengan segera.

Kesungguhan untuk melihat anak perempuannya sembuh dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain membuatkan seorang ibu sanggup berkorban untuk mendermakan buah pinggangnya.

Chew Siew Foong, 56, berkata, perasaannya tidak pernah tenteram setiap kali melihat pende­ritaan anaknya, Ting Chai Shi, 25, yang perlu menjalani rawatan dia­lisis tiga kali seminggu.

Bagaimanapun, Siew Foong mengakui proses pemindahan buah pinggang itu agak sukar untuk dilakukan memandangkan kos yang diperlukan mencecah RM170,000.

“Doktor memaklumkan buah pinggang saya sesuai untuk Chai Shi, namun kos rawatan pula amat tinggi.

“Suami saya bekerja sebagai penjual mi dan saya pula hanya suri rumah. Dua lagi anak kami yang masing-masing berusia 21 dan 28 tahun hanya bekerja biasa.

“Chai Shi mengalami masalah buah pinggang sejak usianya 14 tahun dan saya hanya mahu melihat dia sembuh seperti se­diakala,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga tersebut yang berasal dari Bintulu, Sarawak datang bertemunya bagi memohon bantuan kewangan.

“Keluarga ini amat memerlukan bantuan orang ramai untuk memastikan prosedur pemindahan buah pinggang di sebuah hospital di Semenanjung dapat dibuat dengan kadar segera.

“Ibu ini sudah tidak sanggup melihat anaknya menanggung derita,” katanya.

Tambahnya, penyakit Chai Shi mula dikesan selepas dia sering demam, sukar bernafas, badan menjadi bengkak susulan kedua-dua buah pinggangnya hanya tinggal lima peratus semasa usianya 14 tahun.

“Pada tahun 2018, Chai Shi turut disahkan mengalami masalah kelenjar paratiroid yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam pengaturan kalsium serta tulang menjadi lemah.

“Doktor tidak menolak kemungkinan berpunca daripada dialisis yang berpanjangan sehingga memaksanya mengambil ubat tulang yang menelan kos RM2,000 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menghubungi talian 04-539 9212 atau layari onehopecharity.org untuk maklumat lanjut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker