Fitria Elfina bukan penyondol – Kakak Safee Sali

 

Oleh Razak Hasan

Fitria Elfina bukan penyondol - Kakak Safee Sali
Normalayati bercakap ketika sidang media berkenaan tuntutan hadanah interim Fitria Elfina Maharip terhadap Safee di Mahkamah Syariah Shah Alam.

“Dia (Fitria Elfina) bukan penyebab karma, bukan penyondol dan bukan penyebab rumah tangga yang pertama itu roboh,” kata kakak bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali, 40, iaitu Normalayati Mohd Sali, 53, mengenai adik iparnya, Fitria Elfina Maharip, 44, yang didakwa mendapat karma atas keruntuhan rumah tangganya ketika ini.

Normalayati berkata demikian ketika ditemui selepas sebutan kes tuntutan hadanah interim depan pendaftar kali pertama membabitkan Fitria Elfina dan adiknya, Safee di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.



Bagaimanapun, Safee tidak hadir pada sebutan kali pertama kes tuntutan hadanah interim berkenaan.

Normalayati berkata, sebenarnya tiada karma pun kerana dia mengetahui cerita sebenar dan tidak mahu buka kisah lama kerana akan membabitkan semua pihak.

“Saya juga nak betulkan apa yang salah dan orang yang tuduh adik ipar (Fitria Elfina) saya itu tak betul sebab saya tahu cerita sebenar, keluarga kami pun tahu cuma tak nak aibkan orang lain saja,” katanya.

Ditanya mengenai hak penjagaan anak, Normalayati berkata, Fitria Elfina paling tepat untuk menjaga anak-anak mereka.



“Saya percaya dia paling layak untuk menjaga anak-anak mereka dengan baik berbanding Safee sendiri kerana dia sibuk bekerja. Saya juga ada cakap pada Safee, jangan terus fitnah isteri dan pusing fakta. Semoga kemenangan berpihak kepada adik ipar nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Fitria Elfina sangat berharap dapat berjumpa dua anaknya, Shania Safina dan Shanika Salsabila masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun sempena sambutan Aidilfitri nanti.

“Saya sangat berharap dapat menyambut raya dengan anak-anak kerana sudah dua bulan tidak berjumpa.

“Anak-anak sangat rapat dengan saya. Pada masa sama, saya juga akan berada di sini pada sambutan Hari Raya yang bakal menjelang,” katanya.



Sementara itu, peguam Fauzan Ziman Hassan yang mewakili Fitria Elfina berkata, pihaknya memfailkan hak jagaan induk hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Sementara menunggu perintah dari mahkamah, pihak kami failkan hak jagaan interim (sementara) dulu untuk mendapatkan hak jagaan anak.

|”Prosiding hari ini adalah sebutan kali pertama tuntutan hadanah untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Sebutan kali kedua kes tuntutan hadanah akan berlangsung pada 5 Ogos depan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pendedahan Fitria Elfina yang terputus hubungan dengan dua anak perempuannya sejak awal Februari lalu.



Ini membuatkan suri rumah itu tiada pilihan terpaksa memfailkan tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum prosedur sulh kedua-dua pihak yang berlangsung pada 18 Mac lalu gagal mencapai kata sepakat.

Safee dan Fitria Elfina berkahwin pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua anak perempuan.

Sebelum itu, Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) itu juga pernah berkahwin dengan Sabarina Yusof pada 2007 dan dikurniakan dua anak perempuan sebelum berpisah pada 2 April 2012.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button