Hendak lakukan serangan pada Aidilfitri
Oleh – Syeikh Baran
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak faktor ancaman yang berkemungkinan dilakukan oleh seorang lelaki warga Israel yang ditahan di Jalan Ampang, pada 27 Mac lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia mengambil kira tarikh suspek dikenali sebagai, Shalom Avitan, 38, memasuki negara ini pada Ramadan.
“Kalau (mungkin) hari raya nak buat kekacauan, kalau tak ditangkap, hari raya dia ‘havoc’, tak ke kacau (susah) kita? Itu yang saya nampak dengan (impak) enam senjata api.
“Dia (suspek) turun pun masa Ramadan, dan Hari Raya Aidilfitri tak berapa lama lagi. Nasib baik cekapnya anggota dan pegawai kita,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.
Razarudin berkata, meskipun suspek terbabit memberikan alasan ingin membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru, namun alasan itu tidak harus diterima secara mudah.
“Seperti yang sudah saya tegaskan sebelum ini, dia boleh mengancam keselamatan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang-orang kenamaan, diplomat asing, pemimpin-pemimpin Hamas atau rakyat negara ini sendiri,” katanya.
Razarudin berkata, justeru tujuan utama pemilikan enam pucuk pistol bersama 200 peluru oleh suspek masih menjadi elemen utama siasatan polis dalam menyiasat motif sebenar keberadaannya di negara ini.
“Alasan yang diberikan oleh pihak media asing bahawa Shalom mempunyai misi membunuh atas alasan dendam dan peribadi tidak boleh diterima bulat-bulat,” katanya.
Beliau berkata, secara logik suspek tidak perlu untuk mendapatkan senjata yang banyak sekiranya hanya untuk membunuh seorang sasaran.
“Itulah penekanan kita khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada masa ini dalam menjalankan siasatan bagi mendapatkan motif sebenar dan tujuan utama suspek,” katanya.
Mengulas mengenai informasi yang diterima berhubung kejayaan penangkapan Shalom, Razarudin berkata maklumat berkenaan diterima daripada Cawangan Khas Bukit Aman.
“Maklumat tentang keberadaan suspek ini adalah hasil risikan yang dijalankan oleh Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman yang berpengalaman mengendalikan hal dan isu pengganas.
“Selain itu ianya juga adalah hasil siasatan dan risikan dengan JSJ dan maklumat orang awam sehingga suspek ditangkap bersama enam senjata api,” katanya.
Sumber – SINAR HARIAN