Identiti ‘Eran Haya’ belum dikenal pasti, mungkin sengaja diadakan

Oleh – Syeikh Baran


Identiti ‘Eran Haya’ belum dikenal pasti, mungkin sengaja diadakan
Gambar Hiasan

Polis masih mengenal pasti kesahihan individu bernama Eran Haya seperti didakwa diburu oleh lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel bersama enam pucuk pistol, Rabu lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan pihaknya masih belum mempunyai petunjuk positif terhadap lelaki yang didakwa suspek.



“Berdasarkan pengakuan suspek memberitahu mencari seorang lelaki warga Israel bernama Eran atas isu keluarga tapi kita (polis) perlu pengesahan mengenai kewujudan lelaki itu.

“Buat masa ini, kita belum jumpa lagi. Itu alasan dia sebagai motif tapi kita melihat kemungkinan motif berbeza daripada alasan diberikannya dan hanya mengada-adakan cerita,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan menjurus pelbagai sudut termasuk kemungkinan lelaki warga Israel itu sebagai koordinator bagi perancangan membunuh Eran.

“Kita lihat bagaimana seorang lelaki warga asing datang ke Malaysia boleh mendapat enam pucuk senjata dalam masa beberapa hari duduk di sini, jadi kita lihat kepada semua sudut.



“Mungkin dia boleh menjadi koordinator atau mungkin juga menjadi armourer (pakar senjata) atau datang untuk ambil senjata. Jadi itulah semua sudut siasatan kita, paling mustahak adalah kenal pasti motif,” katanya.

Razarudin berkata, berdasarkan maklumat dan siasatan awal, senjata api yang diperoleh dari negara jiran Thailand itu dijual kepada suspek dengan harga lebih RM10,000 bagi sepucuk pistol.

Razarudin turut mengakui terdapat kelompongan bahagian keselamatan di sempadan antara Malaysia-Thailand sehinga berlakunya aktiviti pengedaran senjata api dan penyeludupan barang ke dalam negara ini.

Jelas beliau, PDRM sentuan menekankan keperluan untuk meningkatkan langkah keselamatan sempadan untuk mencegah aktiviti haram seperti itu.



“Dari siasatan kami mendapati bahawa senjata api memang diambil dari Thailand dan saya terpaksa mengakui bahawa terdapat kelemahan keselamatan di sana yang boleh membenarkan senjata api atau barang haram lain dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Razarudin menambah, pihak polis khususnya di sempadan telah memperketat keselamatan untuk memastikan agar barang haram dan senjata tidak diseludup masuk.

“Namun, kami tahu bahawa di bahagian Kelantan, tiada pagar, hanya sungai sebagai sempadan. Jika kita memikirkan tempat-tempat di mana penyeludupan boleh berlaku, tiada apa-apa di sana selama kira-kira 99 kilometer hingga 100 kilometer. Tiada pagar, tiada kawalan sama sekali.

“Semasa musim kering, melintasi sungai adalah semudah itu. Tiada perlunya bot, hanya sungai. Kami masih menjalankan tugas untuk memastikan agar penyeludupan tidak berlaku, sama ada penyeludupan dari Thailand ke Malaysia atau dari Malaysia ke Thailand.” ujarnya.



Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga Israel ditahan sebuah hotel bersama enam pucuk pistol dan 200 peluru di Jalan Ampang, di sini.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button