Fahmi Fadzil ziarah penyanyi lagu Menaruh Harapan

 

Oleh Razak Hasan

Fahmi Fadzil ziarah penyanyi lagu Menaruh Harapan
Fahmi menyerahkan sumbangan kepada Zaiton ketika program Ziarah Seni Madani, FINAS 2024 bersama di kediaman penyanyi veteran itu di Apartmen Sri Baiduri, Ampang

Penyanyi popular era 1980-an, Zaiton Sameon, 68, tidak menyangka kepayahan hidup dan masalah kesihatan dialami sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Penyanyi lagu Menaruh Harapan itu berkata, dia bersyukur apabila Fahmi bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia sanggup meluangkan masa menziarahinya di rumah.



“Paling saya tak sangka apabila menteri sendiri datang ke rumah menyantuni dan menghulurkan bantuan. Saya sangat berterima kasih kerana masih ada yang prihatin dengan artis bernasib malang seperti saya.

“Saya merasakan lagu sendiri memang ada kena mengena dengan jalan hidup yang dilalui. Ada masanya terfikir, orang ramai sudah lupa saya ke?

“Tapi, bila tiba-tiba menteri datang hendak berjumpa, ia satu penghormatan kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Seni Madani, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 2024 bersama Fahmi di kediamannya di Apartmen Sri Baiduri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Muttalib bagi menyantuni Zaiton termasuk menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan makanan.



Mengulas kehidupannya ketika ini, penyandang trofi Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-2 pada 1987 itu berkata, dia terkejut apabila menteri sendiri meluahkan hasrat membantunya mendapatkan tempat dalam mana-mana program nyanyian.

“Saya terkejut semasa berbual dengan menteri, dia ada menyatakan hasrat membantu mengembalikan populariti saya sama seperti dahulu.

“Saya juga berharap dapat dipanggil semula ke stesen televisyen (TV) untuk membuat persembahan, suatu masa nanti.

“Bagi saya, dapat muncul di kaca TV sangat penting. Orang ramai pun boleh tengok saya masih boleh menyanyi dan buat persembahan.



“Namun, ada juga rasa terkilan bila stesen TV sudah lama tak panggil. Saya berharap ada lagu untuk dipanggil sebagai artis undangan.

“Kali terakhir muncul di kaca TV ketika Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 di TV3,” katanya.

Sementara itu, mengulas usaha untuk mendapatkan bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur, Zaiton memberitahu, prosesnya berjalan lancar.

“Setakat ini, bantuan dapatkan bantuan perumahan masih dalam proses. Tapi, saya sudah dimaklumkan bakal mendapat PPR Sri Aman Jinjang, Kepong, Kuala Lumpur.



“Permohonan sudah lama dibuat, cuma saya perlu hantar beberapa dokumen tambahan, baru-baru ini. Jadi, kemungkinan saya akan dapat menginap di PPR Sri Aman Jinjang, tidak lama lagi,” katanya.

Buat masa ini, Zaiton menumpang dengan anak angkatnya, Che Sikah Ismail atau Ika, 48, dengan menyewa rumah di Apartmen Sri Baiduri, di sini dengan harga RM1,000 sebulan.

Pada 14 November 2022, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan.

Ia susulan kemalangan ngeri yang menimpanya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.



Zaiton dilaporkan parah pada bahagian kepala hingga menyebabkan hilang ingatan sementara. – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading