‘Saya masuk penjara untuk bertemu adik bongsu’

Oleh – Syeikh Baran


‘Saya masuk penjara untuk bertemu adik bongsu’
Angah bertemu pegawai penjara bertugas ketika program PBSL “Ihsan Madani” Kepulangan Yang Dinanti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Penjara Pusat Kota Kinabalu hari ini. – Foto: Ivan Amirul

“Saya memang sengaja ambil dadah supaya dimasukkan ke dalam penjara untuk bertemu adik bongsu.

“Mungkin ia tindakan tidak masuk akal, namun itu cara saya menebus rasa bersalah kepada adik perempuan kesayangan kerana sering mengabaikannya selama ini ekoran kesibukan dengan tugas selama kira-kira 15 tahun sebagai anggota tentera di Semenanjung.



“Biarlah orang di luar sana mahu kata saya bodoh, tetapi secara peribadi tindakan itu berbaloi disebabkan dapat melihat sendiri keadaan adik yang  berada di dalam penjara,” kata seorang banduan wanita yang dikenali sebagai Angah, 40.

Anak kedua daripada empat beradik itu menyatakan dia mula dijatuhkan hukuman penjara sejak Disember tahun lalu atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya, manakala adiknya kini sedang dalam reman di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.

Angah berkata, dia mahu adik bongsunya itu melihat pengorbanan seorang kakak sekali gus menunjukkan masih ada ahli keluarga yang menyayangi dirinya.

Terpilih sebagai salah seorang banduan mengikuti Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) ‘Ihsan Madani’ Kepulangan Yang Dinanti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Angah bersyukur peluang tiga bulan berada di dalam penjara banyak mematangkan diri dan mampu memberi teladan terbaik buat adik dan banduan wanita lain.



Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sabah, Nora Musa memaklumkan, seramai  142 Orang Bebas Berlesen (OBB) terlibat dalam PBSL di semua penjara seluruh Sabah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button