12 individu direman seminggu

Oleh – Syeikh Baran


12 individu direman seminggu
Gambar Hiasan

Seramai 12 individu yang ditahan di hotel di Jalan Ampang, di sini, 27 Mac lalu, direman seminggu bermula kelmarin dan semalam berhubung siasatan kes penemuan enam pucuk pistol lelaki warga Israel.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiga daripada 12 individu yang ditahan membabitkan dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia.



Menurutnya, penahanan mereka menjadikan keseluruhan 16 individu ditahan bagi menjalankan siasatan terhadap suspek utama Shalom Avitan, 38; pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun yang menjual pistol kepada Shalom dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu Shalom.

“Kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).

“Individu terbabit ditahan dalam serbuan dijalankan di ibu negara, Johor dan Kelantan hasil risikan, siasatan dan maklumat orang awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, tangkapan juga dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto.



“Pasangan suami isteri yang ditahan kerana mengedar enam senjata api kepada Shalom disambung reman tujuh hari bermula semalam.

“Empat lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 41 tahun yang ditahan di Johor itu setakat ini dipercayai berperanan membantu mendapatkan senjata api kepada suspek,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu, polis turut menahan enam lagi individu membabitkan dua warga Turkiye berusia 29 dan 40 tahun, seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun dan tiga warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun.

“Suspek utama iaitu, lelaki warga Israel akan tamat reman esok dan kita akan meminta untuk menyambung reman lagi bagi membantu siasatan.



“Penahanan individu terbabit ada yang bagi membantu siasatan berkaitan senjata api itu dan ada yang ditahan membabitkan wang kripto,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar suspek utama memiliki enam pucuk pistol.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button