SPRM siasat aliran wang haram
Oleh – Syeikh Baran
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion susulan penahanan 34 anggota serta pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Setakat ini tiada penangkapan baru membabitkan penjawat awam dan pemilik syarikat namun siasatan sedang dijalankan.
“Penjawat awam dan pemilik syarikat yang ditahan sebelum ini juga sudah dibebaskan dengan jaminan,” katanya.
Sumber berkata, sehingga kini, Bahagian AML, SPRM sudah membekukan sejumlah 231 akaun bank kesemua individu berkenaan dan syarikat yang bertindak sebagai ‘keldai akaun’ dengan jumlah pembekuan sebanyak RM17,621,578.50.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seramai 34 anggota dan pegawai JKDM yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion ditahan SPRM dalam Ops Samba 2.0 sejak 11 Mac lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, operasi khas itu bermula pada 11 Mac hingga 25 Mac lalu diketuai Bahagian AML, SPRM bersama pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta bantuan daripada SPRM Putrajaya, SPRM Selangor dan SPRM Kuala Lumpur dijalankan.
Menurutnya, hasil operasi itu seramai 34 anggota dan pegawai kastam dari gred 19 hingga gred 44 ditahan bersama 27 individu dan pemilik syarikat yang terbabit di dalam industri pengimportan dan penjualan arak dan rokok seludup yang dipercayai merasuah pegawai agensi penguatkuasaan bagi melindungi aktiviti penyeludupan yang dijalankan sejak tahun 2017 sehingga kini.
“Penjawat awam yang ditahan itu berusia 30-an hingga 50-an terdiri pembantu penguat kuasa kastam sehingga ke penolong pengarah kastam yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan di Cawangan Import/Eksport di KLIA Kargo, Sepang.
“Untuk makluman, pegawai dan anggota kastam ini dikesan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan,” katanya.
Sumber – HARIAN METRO