Suspek pecah rumah ditahan polis

Oleh – Syeikh Baran


Suspek pecah rumah ditahan polis
Tangkap layar aksi mengejar antara anggota polis dan suspek di Taiping pada Ahad lalu.

Seorang lelaki yang dipercayai terlibat melakukan jenayah terutamanya pecah rumah di Taiping dan Selama berjaya ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya percaya dengan penahanan suspek berusia 39 tahun itu ia dapat mengurangkan jenayah berkaitan di kawasan terbabit.



Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan setelah dikejar anggota polis dari Balai Polis Kamunting yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah (RCG) di kawasan pentadbiran balai polis tersebut pada Ahad lalu kira-kira pukul 5.45 petang.

“Anggota tersebut telah terserempak dengan sebuah motokar jenis Proton Waja yang dipandu oleh seorang lelaki. Apabila (anggota polis) cuba menghentikan motokar tersebut, lelaki itu bertindak secara berbahaya dan melanggar beberapa kereta dan cuba melanggar anggota polis di Jalan Persiaran Kamunting.

“Namun anggota polis berjaya menahan (suspek) dan hasil pemeriksaan telah berjaya merampas beberapa peralatan dari motokar tersebut yang dipercayai digunakan untuk kesalahan jenayah pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Nasir berkata, hasil ujian air kencing yang dibuat terhadap suspek menunjukkan dia positif dadah jenis Mop, dengan suspek telah ditahan oleh pihaknya.



“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1960,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian kejar-mengejar antara dua unit kereta peronda (MPV) polis dan dua motosikal unit ronda bermotor (URB) dengan Proton Waja dinaiki suspek di Jalan Kamunting menuju ke Jalan Ulu Sepetang yang tular di aplikasi TikTok yang mana klip berdurasi 50 saat dikesan pihaknya pada Isnin lalu.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading