Ketipak Ketipung Raya tular sehingga ke negara seberang
Oleh Razak Hasan
Penyanyi Aisha Retno tidak menyangka lagu raya duet bersama Aziz Harun berjudul Ketipak Ketipung Raya tular sehingga ke negara seberang, Indonesia.
Kejayaan yang tak disangka tersebut jelas dilihat apabila beberapa selebriti ternama seperti Luna Maya dan Dian Sastrowardoyo menggunakan lagu itu dalam video mereka khususnya di platform TikTok.
“Sangat gembira dan sangka lagu raya boleh tular sehingga di Indonesia.
“Setiap kali ada artis guna Ketipak Ketipung Raya diguna mana-mana artis, saya dan Aziz akan mengulang siar hantaran tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Ditanya ramuan rahsia lagu tersebut sehingga mampu menawan hati ramai pada musim perayaan, pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu berkata, mungkin kerana rentak yang ‘catchy’.
Bahkan, penyanyi berusia 23 tahun itu juga bersyukur apabila lagu rayanya mampu menjadi siulan dan mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia.
“Tiada ramuan rahsia pun tetapi mungkin kerana mengetengahkan rentak joget dan melodinya juga sangat catchy.
“Media sosial terutama TikTok juga memainkan peranan utama ketika ini yang banyak membantu tularkan lagi lagu tersebut.
“Paling lucu ramai yang panggil saya ‘kakak ketipak ketipung’ setiap kali bertemu pada musim perayaan ini. Saya okey sahaja dengan gelaran tersebut,” jelas pemenang tempat kedua Anugerah Juara Lagu ke-38 menerusi lagu Sutera itu.
Sehingga kini, muzik video rasmi Ketipak Ketipung Raya meraih lebih 2.5 juga tontonan sejak dimuat naik dalam YouTube tiga minggu lalu. – KOSMO! ONLINE