Harga sayur masih murah, kemungkinan meningkat seminggu lagi

Oleh – Syeikh Baran


Harga sayur masih murah, kemungkinan meningkat seminggu lagi
Harga sayur di pasaran sehingga kini masih belum mengalami sebarang peningkatan ketara dengan kebanyakannya lebih murah berbanding sebelum Aidilfitri. – Foto NSTP/Ercy Gracella Ajos

Harga sayur di pasaran di sini, sehingga kini masih belum mengalami sebarang peningkatan ketara dengan kebanyakannya lebih murah berbanding sebelum Aidilfitri.

Seorang pekerja di kedai runcit yang menjual sayur-sayuran berhampiran Pasar Chow Kit yang hanya ingin dikenali sebagai Aiman, 28, mengesahkan harga sayur ketika ini lebih murah berbanding sebelumnya.



Katanya, kacang panjang dijual pada harga RM8 untuk sekilogram berbanding sebelum raya iaitu mencecah RM12 hingga RM15 sekilogram.

“Selain itu, kangkung dan bayam dijual pada harga RM3 sekilogram, cili merah (RM6 untuk sekilogram) manakala kobis pula dijual pada harga RM2.50 sekilogram.

“Untuk sayur kampung kita ada jual juga, cuma musim perayaan ini tidak ada stok sebab semua bercuti.

“Dijangkakan stok sayur kampung termasuk pucuk ubi, paku pakis dan sayuran lain akan dihantar ke pasar borong sekitar ibu kota ini pada Selasa ini,” katanya yang memaklumkan bekalan sayuran diperoleh daripada pemborong Pasar Selayang.



Dalam pada itu, tinjauan BH di Pasar Chow Kit di sini, mendapati rata-rata gerai yang menjual sayur-sayuran masih tutup kerana ramai yang pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Aiman turut memaklumkan kebanyakan peniaga sayur di Pasar Chow bercuti sejak Selasa lalu dan gerai hanya kembali dibuka mulai esok.

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, ketika dihubungi hari ini memaklumkan, harga sayur setakat ini masih belum mengalami sebarang peningkatan ketara kerana beberapa aktiviti sosial termasuk cuti persekolahan dan Aidilfitri.

“Setakat ini belum naik lagi sebab raya belum habis. Mungkin harga akan naik dalam satu minggu lagi. Lepas sekolah dibuka nanti kemungkinan harga akan naik dengan ketara,” katanya.



Ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak mengenai lebihan sayuran hingga ada yang terpaksa dibuang, Ser Kwee berkata, ia memang berlaku.

“Keadaan ini memang berlaku di sesetengah tempat dimana banyak penawaran sayur hingga tidak laku mengakibatkan ia terpaksa dibuang,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading