Singapura larang gula-gula dari Malaysia

Oleh – Syeikh Baran


Singapura larang gula-gula dari Malaysia
Agensi Makanan Singapura (SFA) menasihatkan pengguna supaya tidak membeli atau mengambil “Gula Ginseng Kingu” kerana ia telah dikesan dicampur dengan tadalafil, ubat preskripsi mujarab yang digunakan untuk merawat disfungsi erektil. – Foto AGENSI

Agensi Makanan Singapura (SFA) menasihatkan pengguna supaya tidak membeli atau mengambil gula-gula “Kingu Ginseng Candy” kerana ia didapati mengandungi tadalafil, ubat preskripsi yang digunakan bagi merawat lemah tenaga batin.

Agensi itu berkata produk itu yang dikatakan berasal dari sebuah negara jiran telah dipasarkan di pelbagai platform e-dagang sebagai gula-gula yang didakwa memberi kesan kepada peningkatan seksual laki-laki.



“SFA telah bekerjasama dengan pelbagai platfrom e-dagang dalam talian untuk mengeluarkan produk itu daripada senarai dan mengeluarkan amaran kepada penjual berkaitan supaya berhenti menjual produk itu serta-merta.

SFA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang menjual dan membekalkan produk makanan yang didapati mengandungi bahan terlarang atau ramuan yang kuat kerana ia bukan makanan yang selamat,” kata agensi itu di dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata tadalafil perlu diberikan di bawah pengawasan perubatan dan penggunaannya yang tidak sesuai adalah berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kesan sampingan yang teruk termasuk serangan jantung, angin ahmar, sakit kepala, migrain, kadar degupan jantung tidak tetap dan priapisme (keadaan tidak normal ereksi yang berterusan dan berpanjangan)

SFA berkata, tadalafil juga boleh membawa risiko serius kepada individu tertentu termasuk mereka yang menghadapi masalah jantung dan mampu mengakibatkan tekanan darah rendah yang boleh mengancam nyawa mereka yang mengambil ubat sakit jantung, terutamanya yang mengandungi nitrat.



Penjualan makanan tidak sihat adalah menyalahi Seksyen 15 Akta Jualan Makanan Singapura.

Sesiapa yang didapati menyalahi mana-mana peruntukan dalam akta ini boleh didenda tidak melebihi S$5,000 jika sabit kesalahan dan bagi kesalahan kedua atau sabitan seterusnya boleh didenda maksimum S$10,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya. – BERNAMA

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button