Rumah musnah terbakar pada hari raya keempat
Oleh – Syeikh Baran
Dua buah rumah musnah dijilat api pada hari raya keempat di Kampung Damak dan Kampung Orang Asli Paya Sendayan, Temerloh hari ini.
Kejadian pertama pada pukul 6.26 pagi melibatkan sebuah rumah separuh kekal yang terbakar di Jalan Jerantut-Benta berdekatan Kampung Damak.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jerantut menerima maklumat pada pukul 6:26 pagi dan tiba di lokasi kejadian 25 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami mendapati kebakaran melibatkan rumah separuh kekal yang terbakar 100 peratus.
“Seramai 11 anggota dari BBP Jerantut dan BBP Kuala Krau dengan dibantu empat anggota bomba sukarela Kampung Damak serta tiga buah jentera terlibat dlaam operasi pemadaman,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zulfadli, pemadaman menggunakan dua aliran salur pam tangki jentera bomba dan dua aliran hos serta pemancut air pili bomba.
Dalam kejadian berasingan, Zulfadli berkata, sebuah rumah di Kampung Orang Asli Paya Sendayan, Kuala Krau turut terbakar pada pukul 10.15 pagi.
Walau bagaimanapun tiada mangsa yang cedera.
Sumber – KOSMO! ONLINE