Coventry nyaris malukan United

Oleh – Syeikh Baran


Coventry nyaris malukan United
Reaksi kecewa pemain Coventry City selepas tewas kepada United. – REUTERS

Manchester United hampir dimalukan kelab divisyen dua, Coventry City sebelum meraih kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley, sebentar tadi.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas Coventry yang sebelum itu ketinggalan tiga gol mencipta kebangkitan sensasi untuk mengikat United 3-3.



Skuad kendalian Erik Ten Hag yang bernilai jauh lebih tinggi iaitu RM3.74 bilion berbanding Coventry (RM279 juta) membuka tirai jaringan pada minit ke-24 apabila Scott McTominay mudah menyudahkan umpanan Diogo Dalot di dalam kotak penalti.
 

United menuju ke bilik persalinan dengan lebih selesa selepas pemain pertahanan, Harry Maguire menanduk masuk bola sepak sudut Bruno Fernandes pada masa kecederaan babak pertama.

Fernandes kemudian menggandakan kelebihan buat United dengan meledak gol ketiga pada minit ke-58, namun Coventry berjaya merapatkan kedudukan apabila Ellis Simms menyudahkan hantaran Fabio Tavares minit ke-71.

Lapan minit kemudian, situasi cemas mula dialami Red Devils apabila Coventry memperoleh gol kedua hasil jaringan Callum O’Hare yang berpunca daripada umpanan Simms.

Kebangkitan skuad kendalian Mark Robins berterusan dengan mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan penalti Haji Wright pada masa kecederaan selepas bola terkena tangan Aaron Wan-Bissaka untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.



Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal menambah jaringan sepanjang masa tambahan yang menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

Rasmus Hojlund muncul penyelamat maruah United apabila menyudahkan sepakan penalti terakhir untuk membawa pasukannya ke final selepas O’Hare dan Ben Sheaf gagal menyempurnakan sepakan buat Coventry.

Kemenangan itu membolehkan United menempah pertembungan tetangga dengan Manchester City di pentas akhir pada 25 Mei ini. – AGENSI

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading