Didenda RM3,000 halang tugas, maki polis

Oleh – Syeikh Baran


Didenda RM3,000 halang tugas, maki polis
Gambar Hiasan

Seorang pengurus sebuah syarikat pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menghalang tugas dan mengeluarkan kata kesat kepada anggota polis, empat tahun lepas.

Majistret Farah Roslan menjatuhkan hukuman itu terhadap Paramver Singh Bullaveer Singh, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan dan satu bulan masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua sekiranya gagal membayar denda.



Paramver Singh didakwa menghalang anggota polis daripada menjalankan tugasnya dengan enggan memberi pengenalan diri dan memaki hamun pihak polis.

Dia didakwa engikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa menggunakan perkataan kurang sopan kepada Sarjan Mohd Shukor Md Yusof mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Bukit Jelutong, di sini pada jam 5 petang, 2 September 2020.



Ketika rayuan, peguam Harvindar Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya ketika kejadian berada dalam keadaan mabuk selain mengalami tekanan selepas bercerai dengan isterinya.

Timbalan Pendakwa Raya Saidah Fasihah Che Yusoff memohon hukuman berat dan menegaskan perbuatan itu tidak boleh dipandang ringan kerana tertuduh telah mengganggu tugas penjawat awam dengan melakukan provokasi secara memaki hamun kepada polis.

Mahkamah kemudiannya menetapkan denda RM2,800 dan RM200 masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua. Tertuduh membayar denda tersebut. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading