Enam rumah musnah terbakar di Lahad Datu
Oleh – Syeikh Baran
Enam rumah jenis separuh kekal di Kampung Unta, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 7.40 pagi.
Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba menganggarkan enam rumah terbakar 100 peratus dan usaha memadamkan api kebakaran masih dijalankan.
“Setakat ini, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, api dapat dikawal pada jam 8.19 pagi.
“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
Sumber – HARIAN METRO