160 paus pilot terdampar di pantai Australia
Oleh – Syeikh Baran
Ahli bilologi marin Australia bertungkus lumus menyelamatkan lebih daripada 100 ekor ikan paus pilot yang terdampar di pantai Australia.
Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Australia Barat berkata, sekurang-kurangnya 26 ekor paus itu telah pun mati.
Pegawai berkata, sekurang-kurangnya 160 ekor paus pilot terdampar di Toby’s Inlet yang terletak kira-kira tiga jam pemanduan ke selatan ibu negeri Perth.
“Sepasukan kakitangan berpengalaman termasuk pegawai hidupan liar, saintis marin, doktor haiwan berada di lokasi itu atau sedang dalam perjalanan,” kata Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar dalam satu kenyataan.
Di pantai itu, pegawai hidupan liar sedang berusaha menolak beberapa ikan paus pilot ke luar pantai atau ke perairan yang lebih dalam.
Bagaimanapun, pada kebiasaannya, insiden tersebut mengakibatkan ikan paus yang terdampar di pantai terpaksa dibunuh sebagai ‘penyelesaian paling berperikemanusiaan’.
Kejadian ikan paus pilot terdampar secara besar-besaran bukanlah sesuatu yang luar biasa di Australia dan New Zealand. – AFP
Sumber – SINAR HARIAN