Kes model bunuh kekasih disebut semula 28 Mei ini

Oleh – Syeikh Baran


Kes model bunuh kekasih disebut semula 28 Mei ini
Tamilselvi ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting hari ini. FOTO SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 28 Mei depan sebagai sebutan semula bagi serahan dokumen perubatan kes seorang model sambilan yang dituduh membunuh teman lelakinya, bulan lalu.

Majistret Maslinda Selamat menetapkan tarikh itu bagi pihak pendakwaan menyerahkan laporan perubatan toksikologi, bedah siasat dan laporan kimia.



Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Khadijah Amir Hamdzah menjelaskan laporan itu belum dapat disediakan dengan memohon tarikh baharu bagi tujuan mengemukakan dokumen berkaitan perubatan.

Peguam Vitiya Monisha Paranthaman serta Aniesha De Silva pula menyatakan bahawa tertuduh, A. Tamilselvi, 26, mempunyai beberapa laporan perubatan dari hospital yang akan dikemukakan nanti.

“Kami belum dapat maklum balas daripada pihak hospital berhubung keputusan atau laporan kesihatan tertuduh.

“Selain itu, tertuduh juga sudah mendapatkan konsultasi masalah kesihatan dihadapinya dan akan mendapat rawatan di penjara nanti,” katanya.



Mengikut pertuduhan, Tamilselvi yang merupakan bekas pelajar perubatan itu didakwa membunuh V. Gawsigan, 26, di sebuah rumah di Telok Panglima Garang di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi, 11 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan angkara cemburu, seorang wanita yang juga model sambilan hilang pertimbangan dengan menikam mati kekasihnya di sebuah rumah sewa di sekitar Rimbayu, di sini.

Suspek yang menikam mangsa dengan pisau berdasarkan kecederaan pada pergelangan tangan dan kaki kiri bagaimanapun sempat membawa kekasihnya itu ke Hospital Cyberjaya bagi mendapatkan rawatan sebelum disahkan mati.



Polis kemudiannya berjaya menahan suspek kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada hari kejadian dengan siasatan mendapati pasangan telah bercinta selama tiga tahun.

Sumber – KOSMO!ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button