Remaja rentung terperangkap dalam asap tebal

Oleh – Syeikh Baran


Remaja rentung terperangkap dalam asap tebal
Kebakaran melibatkan sebuah rumah yang musnah sepenuhnya dan terdapat seorang mangsa rentung dalam kejadian di Kampung Lasing, Ranau.

Seorang remaja perempuan yang terperangkap dalam asap tebal ditemukan rentung akibat kebakaran di rumahnya di Kampung Lasing, di sini pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mayat mangsa berusia 15 tahun ditemukan di bahagian tingkat bawah rumah yang terbakar.



Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.36 pagi.

Menurutnya, seramai lapan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Ranau.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang terbakar 100 peratus.

“Operasi memadamkan api segera dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera bomba,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.



Katanya lagi, hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa remaja perempuan ditemui rentung dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Difahamkan, ketika kejadian bapa saudara mangsa sempat keluar dari rumah manakala mangsa pula terperangkap di dalam disebabkan asap yang tebal.

“Operasi ditamatkan pada jam 4.26 pagi,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button