Warga emas hilang ditemui meninggal dunia

Oleh – Syeikh Baran


Warga emas hilang ditemui meninggal dunia
Mayat lelaki warga emas ditemui di kawasan lembah Hutan Simpan Guar Sanai, dekat Padang Besar hari ini.

Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari daun palas, dua hari lalu ditemui meninggal dunia di kawasan lembah Hutan Simpan Guar Sanai, dekat sini hari ini.

Mayat mangsa, Ubaidillah Mohamad, 73, ditemui oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 4.12 petang.



Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa berusia 68 tahun berhubung kehilangan warga emas terbabit pada pagi semalam.

“Pengadu memaklumkan suaminya tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi selepas keluar mencari daun palas di kawasan kebun getah atau hutan di Kampung Guar Sanai di Padang Melangit, Beseri dekat sini dengan menunggang motosikal pada pukul 3 petang, kelmarin.

“Tindakan awal mencari mangsa dijalankan oleh anggota Balai Polis Beseri bersama masyarakat setempat dan pada pukul 6.30 petang hari sama, motosikal lelaki warga emas itu ditemui di kawasan kebun getah,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, pasukan SAR dengan kekuatan 99 pegawai dan anggota polis, Pasukan Gerakan Am Batalion 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam melakukan pencarian
di kawasan Hutan Simpan Guar Sanai sebelum menemui mangsa di kawasan lembah di situ.



“Mayat mangsa dijumpai pada pukul 4.12 petang tadi dengan jarak kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi motosikal ditemui,” ujarnya.

Tambahnya, hasil siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis mengesahkan tiada unsur jenayah pada mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah kematian mengejut dan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button